Ads 468x60px

Ahad, 29 Julai 2012

Rangkuman Minggu 1 KSSB 1433-2012


(1 HINGGA 7 RAMADHAN 1433 H / 21 HINGGA 27 JULAI 2012)

Alhamdulillah gerak kerja awal Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) pada kali ini berjalan dengan lancar walau pun bermula agak lewat. Namun atas sokongan banyak pihak dan perincian pengurusan yang lebih baik telah banyak membantu melicinkan urusan-urusan persiapan awal kempen ini digerakkan. Perbelanjaan untuk urusan permulaan KSSB 2012 adalah sebanyak RM 6,275.30 yang melibatkan urusan pos, percetakan, servis kenderaan dan pembelian barang makanan untuk sumbangan. Seorang sukarelawan sepenuh masa telah terlibat dalam KSSB pada kali ini.


Sebanyak 2034 keping surat telah dipos kepada para penyumbang seluruh negara yang melibatkan agensi-agensi kerajaan dan swasta, institusi-institusi pendidikan awam dan swasta, syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana, pertubuhan dan persatuan, hotel dan resort, bank-bank serta orang perseorangan. Manakala 1000 keping borang telah diedarkan untuk edaran dalaman yang melibatkan agensi-agensi di bawah selian ABIM Negeri Johor. Sehingga minggu pertama sebanyak 54 keping surat telah dikembalikan semula kepada Sekretariat KSSB kerana alamat tidak lengkap, tidak diketahui dan sudah berpindah. Dana terkumpul daripada penyumbang adalah sebanyak 340 kg beras dan wang tunai berjumlah RM 3,710.10.


Sesi pertama penyampaian sumbangan KSSB 2012 telah berlangsung pada 1 Ramadhan bertempat di daerah Kota Tinggi. Program yang diberi nama Program Semurni Kasih Ramadhan telah melibatkan kerjasama antara ABIM Negeri Johor, ABIM Daerah Kota Tinggi dan guru-guru SK Muzaffar Syah. 

ABIM Negeri Johor telah menyalurkan sebanyak 20 kampit beras dan bahan-bahan makanan dengan anggaran nilai sebanyak RM 1,000.00 daripada dana KSSB negeri. Manakala, ABIM Daerah Kota Tinggi telah berjaya mengumpul sebanyak  38 kampit beras, 7 kotak pakaian, keperluan dapur dan 70 bungkusan kurma. Para penerima sumbangan terdiri daripada masyarakat berkeperluan yang tinggal di Kg. Seluyut, Kg. Pasak dan Kg. Minchu. Adapun sebanyak 74 hamper beserta pamplet Tazkirah Ramadhan telah disampaikan kepada para pesakit di Wad Pesakit Lelaki, Wanita dan Kanak-kanak Hospital Kota Tinggi.

read more

Isnin, 23 Julai 2012

Semurni Kasih Ramadhan di Kota Tinggi

Pada 1 Ramadhan yang lalu bersamaan 21hb Julai 2012, ABIM Daerah Kota Tinggi dengan kerjasama Guru-guru SK Muzaffar Syah telah melaksanakan Program Semurni Kasih Ramadhan. Penyelaras Program 1 Ramadhan, Saudara Azmi telah berjaya mengumpul sebanyak 38 kampit beras, 7 kotak pakaian, keperluan dapur dan 70 bungkusan kurma. Alhamdulillah, wakil ABIM Negeri Johor yang diketuai oleh Saudara Mohd Sidek Roslan turut menyumbang sebanyak 20 kampit beras dengan anggaran nilai sebanyak RM500. Berikut ialah sedikit nota pengembaraan misi Ramadhan tersebut. 


8.30 pagi: Wakil ABIM Negeri Johor yang diketuai oleh Saudara Mohd Sidek Bin Roslan dan exco iaitu Saudara Aziz Ali serta sukarelawan iaitu Muhammad Amran Roslan tiba di SK Muzaffar Syah. Seramai 6 orang guru serta 2 orang wakil Ketua Kampung Seluyut turut serta dalam Program Semurni Kasih Ramadhan. Ekspedisi dimulai dengan Solat Dhuha terlebih dahulu dan taklimat ringkas oleh Sdr Nizarudin Aznan. Kampung Seluyut adalah destinasi utama. Cara pembahagian beras dilaksanakan secara rumah ke rumah. Ketua Kampung Seluyut En Razak turut sama sebagai panduan kami untuk memberikan bantuan. Sebanyak 38 kampit diberikan di Kawasan kampong Seluyut. 


11.00 pagi: Jelajah Ramadhan terus bergerak ke Kampung Pasak. Hanya 2 buah rumah sahaja yang kami berkesempatan untuk memberi bantuan kerana kesuntukan masa. Sebanyak 16 kampit beras diagihkan kepada penduduk Kampung Pasak. Pembahagian beras di Kampung Pasak dilaksanakan oleh Setiausaha kampung tersebut. 

11.30 pagi: Kami terus bergerak ke Kampung Minchu sebagai destinasi bantuan beras yang terakhir. Di sini sebanyak 4 kampit beras diberikan kepada saudari mualaf. Rasa keinsafan mulai terasa kerana anaknya mengidap penyakit leukimia kian beransur pulih. Alhamdulillah. 


12.45 tengahari: Kami tiba di Hospital Kota Tinggi. Sebanyak 74 hamper dibawa untuk diberikan kepada pesakit Hospital Kota Tinggi. Selain hamper, pamplet Tazkirah Ramadhan turut dibawa sebagai bahan bacaan pesakit. Wad pesakit lelaki, wanita dan kanak-kanak turut kami lawati. Kerjasama daripada kakitangan hospital amat baik. Kami sudahi Jelajah 1 Ramadhan ini dengan solat berjemaah di Surau Hospital Kota Tinggi dan diakhiri dengan ucapan terima kasih daripada Wakil ABIM Negeri Johor Saudara Mohd Sidek Bin Roslan, Ketua Kampung Seluyut En Razak dan Ustaz Zaidi YDP ABIM Daerah Kota Tinggi. 

Misi selesai tepat jam 2.02 petang. Alhamdulillah. Terima kasih kepada semua yang menjayakan Program 1 Ramadhan ini.

read more

Jumaat, 20 Julai 2012

Kempen Seorang Sekampit Beras 1433-2012


Ramadhan al-Mubarak kembali lagi. Kini di tahun 1433 Hijri. Satu bulan ang penuh barakah, rahmah dan keampunan Allah SWT. Tatkala umat Islam bergembira menyambut kedatangan bulan yang mulia ini, masih ramai dikalangan kita yang sedang merintih mengharap bantuan agar dapat mengisi keperluan asas seperti makanan, pakaian, dan tempat tinggal.


Atas dasar keprihatinan, Skuad Prihatin ABIM Negeri Johor mengambil inisiatif menganjurkan kempen "KEMPEN SEORANG SEKAMPIT BERAS" bagi membantu golongan yang memerlukan agar dapat bersama-sama meraikan Ramadhan Al-Mubarak ini.

Sumbangan anda akan disalurkan kepada umat Islam yang memerlukan (ditindas, ditimpa bencana, pelarian, anak yatim, fakir miskin dan sebagainya).

Justeru, marilah kita bersama menunaikan tanggungjawab membantu umat Islam sebagai tanda kasih dan syukur kita kepada Allah.

"Sebaik-baik sedekah adalah di bulan Ramadhan" (HR at Tirmizi).

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun TABUNG PRIHATIN No. akaun 01014010045659 (Bank Islam Malaysia Berhad). Moga usaha dan keprihatinan tuan-tuan yang sedikit ini akan memberi manfaat yang besar di akhirat kelak. Insya-Allah.

read more