Ads 468x60px

Isnin, 13 Ogos 2012

Misi Sumbangan KSSB di Pontian

Syukur ke hadrat ilahi pada hari Ahad, 12 Ogos 2012 bersamaan 23 Ramadhan 1433H yang lalu pasukan sukarelawan Skuad Prihatin ABIM Johor terus menabur bakti melalui Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) yang berlangsung sepanjang Ramadhan ini, kali ini sasaran kawasan penempatan adalah di daerah Pontian di perkampungan sekitar Telok Kerang dan Rambah. Misi sumbangan ini telah disertai oleh 11 orang sukarelawan termasuk 3 orang Exco ABIM Daerah Pontian iaitu Ustaz Omar Maidin (Yang Di-Pertua), Sdr. Zoolhilmi Ahmed (Setiausaha), dan Sdr. Badrul Hadi (Exco).


Sebelum misi penyampaian ini dijalankan, wakil Skuad Prihatin telah pun menjalankan aktiviti cerapan atau bancian kepada golongan sasaran pada 9hb Ogos 2012, yang mana maklumat awal diperoleh daripada pihak Pejabat Agama Daerah Pontian dan Sek. Men. Keb. Telok Kerang, Pontian yang terdiri daripada asnaf-asnaf penerima zakat dan keluarga pelajar-pelajar penerima bantuan.

Hasil daripada cerapan yang dijalankan, antaranya didapati terdapat seorang warga emas yang tinggal berdua dengan ibunya (yang juga warga emas) yang tidak punya pendapatan setelah dimaklumkan beliau tidak lagi menerima bantuan daripada JKM yang biasanya diterima setiap bulan memandangkan tempoh bantuannya telah tamat, selain menghidap penyakit sesak nafas, masalah ingatan dan lain-lain sakit tua.

Skuad Prihatin juga turut mendengar beberapa keluhan yang mengadu ada menerima banyak kunjungan daripada pihak-pihak berwajib dan tertentu yang turut membuat bancian sebelum ini dan menjanjikan bantuan, namun tidak dapat sebarang perkembangan sehingga kehadiran Misi Sumbangan Skuad Prihatin ABIM Johor.


Dan seperti yang dijanjikan, Skuad Prihatin telah melaksanakan misi sumbangannya bermula jam 12.30 tengahari dengan para aktivis dan sukarelawan berkumpul di Masjid Jamek Telok Kerang, Pontian untuk solat Zuhur berjemaah diikuti dengan sesi taklimat ringkas oleh ketua misi iaitu Sdr. Zoolhilmi Ahmed. Alhamdulillah, misi kali ini berjalan dengan lancar malah kehadiran skuad disambut mesra dengan senyuman dan wajah gembira tuan-tuan rumah dan misi penyampaian ini telah berakhir sekitar jam 4.00 petang dengan berjaya melakukan penyampaian di Kg. Timur Raya, Kg. Parit Sopian, Kg. Parit Wer, Kg. Tengah 2, Kg. Sawah Lama, Kg. Tengah 1, (kawasan Telok Kerang) dan Kg. Parit Rambai (kawasan Rambah) yang melibatkan sebanyak 16 buah rumah.

Misi seterusnya akan disambung pada hari Selasa, 14 Ogos 2012 bertempat di Sek. Men. Keb. Telok Kerang, Pontian yang melibatkan penyampaian kepada 10 buah keluarga terpilih melalui kerjasama pihak sekolah meliputi kawasan di Penerok, Kg. Parit Bilal (Rambah), Rimba Terjun, Parit Mesjid, Kg. Sg. Punai dan Kg. Peradin (Telok Kerang).

read more

Rabu, 1 Ogos 2012

Misi Sumbangan KSSB di Mersing


Pada pagi 8 Ramadhan 1433H bersamaan 28 Julai 2012 ABIM Negeri Johor bersama-sama dengan ABIM Daerah Mersing telah menyampaikan sumbangan KSSB kepada 20 orang penerima di sekitar Kampung Tanjung Genting, Kampung Sri Lalang dan Kampung Teglu yang terletak di dalam daerah Mersing. Skuad KSSB berkumpul di Surau Kg. Tg. Genting pada pukul 9.45 pagi.


Skuad KSSB di daerah Mersing pada kali ini melibatkan Sdra. Zainudin Zakaria (YDP ABIM Mersing), Muhammad Hanis Zakaria (PSU ABIM Mersing), Pn. Nur Fauzana Abd. Rahman (Helwa ABIM Mersing) dan Sdra. Ahmad Rasmi (Ahli ABIM Mersing). Sementara ABIM Negeri Johor pula diwakili oleh Sdra. Mohd. Sidek Roslan (PSU), Sdra. Aziz Ali (Exco) dan Sdri. Shakinah Ali (Exco). Setelah memastikan semua barang-barang sumbangan siap sedia, para aktivis bergerak dengan 2 buah kenderaan mpv untuk ke rumah para penerima.


Para penerima terdiri daripada fakir, miskin, ibu tunggal dan anak yatim. Masyarakat berkeperluan di sini rata-rata berpendapatan di bawah RM 500.00 sebulan dan kebanyakannya bekerja sebagai nelayan dan mengambil upah kerja-kerja kampung. Manakala, bagi ibu-ibu tunggal pula ada yang mengambil upah menjahit baju dan berniaga kecil-kecilan. Bagi ibu-ibu tunggal yang tidak bekerja, mereka mengharapkan pendapatan anak-anak yang rata-rata hanya melakukan kerja-kerja kampung. 

Seorang penerima yang miskin dan hanya bekerja sebagai nelayan meluahkan rasa kesal apabila rumahnya yang telah hampir 3 tahun roboh dan hanya tinggal bahagian dapur yang juga hampir roboh, tidak mendapat sebarang pembelaan atau apa-apa bantuan daripada pihak berwajib.

Aktiviti Skuad KSSB 2012 di daerah Mersing berakhir pada pukul 1.00 tengahari setelah selesai menyampaikan 20 set sumbangan kepada para penerima di rumah masing-masing.

read more