Ads 468x60px

Isnin, 29 Mac 2010

Ini yang harus dilakukan oleh mahasiswa (Ambil peduli keadaan sekeliling) -Konteks Masyarakat-

SIKAP peduli adalah sikap ambil tahu dan peka terhadap sesuatu yang berlaku serta memberi tindak balas terhadap hal-hal yang berlaku di sekeliling kita. Rasa peduli adalah elemen yang sangat penting dalam kehidupan kerana ia mengajar kita untuk hidup bermasyarakat.

Mengambil tahu masalah secara positif menggalakkan remaja menjadi seseorang yang prihatin terhadap keperluan dan masalah orang lain, berusaha untuk bantu-membantu dalam menyelesaikan masalah, serta mendidik remaja supaya dapat merenung hikmah dan pengajaran di sebalik sesuatu kejadian.

Hikmah rasa peduli

Rasa peduli sememangnya amat penting diamalkan oleh remaja dalam hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Ia bermula dengan isteri atau suami dan anak-anak, anggota keluarga dan akhirnya kepada masyarakat.

Bayangkan sekiranya remaja berada di tempat kerja, rasa peduli amat dituntut. Sebagai pekerja kita berada dalam suatu suasana muafakat, kerjasama dan saling berinteraksi.

Apabila ada orang yang miskin dan susah memerlukan bantuan, rasa peduli akan menerbitkan perasaan untuk membantu sedaya mampu.

Apabila mendengar kesakitan orang lain terhadap kesempitan yang dihadapi, rasa peduli akan mendorong remaja turut sama merasai atau berkongsi keperitan yang dialami.

Ada orang yang zaman kanak-kanak dan remajanya tidak seindah seperti golongan seusianya. Ada yang hidup mewah dan keperluan zahir dijaga, tetapi keperluan kasih sayang tidak dipenuhi.

Ada yang hidup miskin dan tidak berkemampuan, tetapi dilimpahi dengan didikan agama dan kasih sayang daripada ibu bapa dan penjaga. Namun yang lebih menyedihkan sekiranya miskin harta dan kasih sayang.


Keperluan anak-anak yang tidak seimbang seperti ini harus diambil peduli dan dibantu supaya tidak tercicir serba serbi dalam arus dunia yang semakin pantas dan mencengkam.

Intimnya kaitan rasa peduli dengan remaja bertujuan mendidik mereka bahawa hidup ini memerlukan orang lain dan keperluan untuk berhubung serta berinteraksi.

Sebahagian remaja kadang-kadang sudah terdidik dengan sifat bersendiri, tidak peduli orang lain, hilang hormat kepada ibu bapa dan orang tua, hilang adab kepada jiran dan orang lain.

Sikap sebegini tidak menyumbang ke arah pembinaan masyarakat. Bayangkan kalau di peringkat remaja lagi sudah ada sikap individualistik. Pasti akan terbawa-bawa hingga dewasa.

Rasa peduli mestilah dalam batas pengertian yang mendalam, keinsafan yang tinggi bahawa sebagai hamba Allah kita memerlukan bantuan, sumbangan dan derma dalam keadaan-keadaan tertentu.

Bayangkan sekiranya kita ditimpa bencana, kesusahan dan kepayahan hidup pasti kita memikirkan bantuan dan pertolongan orang lain. Sekiranya rasa peduli itu subur pada diri remaja ia menjadi asas membina sikap tidak sombong dan tidak angkuh dengan apa yang ada pada dirinya.

Sekiranya rasa peduli itu teguh pada remaja, apabila dewasa ilmu yang ada dapat digunakan untuk menyumbang terhadap orang lain. Kepakaran yang ada memudahkan pihak yang memerlukan, banyak membantu kerja-kerja sukarela. Amalan begini boleh memupuk rasa muhibbah dan kemanusiaan tinggi sesama manusia.

Ambil peduli, bukan 'menyibuk'

Malangnya apa yang terjadi dalam masyarakat hari ini adalah kita terlalu takut atau sememangnya tidak peduli akan masalah dan isu-isu yang berlaku di sekeliling kita.

Peristiwa penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi, jenayah, kes-kes dadah dan rogol yang menjadi-jadi sewajarnya membangkitkan perasaan peduli terhadap suasana sekeliling.

Frasa 'jangan menjaga tepi kain orang' tidak harus dianggap pengabaian terus terhadap hal-hal yang terjadi di luar lingkungan urusan kita.

Orang tua-tua dahulu mentafsir pepatah tersebut sebagai jangan 'menyibuk' hal orang lain atau masuk campur hal orang lain dengan tujuan tidak baik.

Ia bukanlah bermaksud untuk tidak ambil tahu langsung terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita, tetapi tidak masuk campur secara berlebih-lebih supaya tidak timbul perkara yang kurang menyenangkan kemudian hari.

Rasa peduli mestilah berasaskan sifat ikhlas dan tulus supaya sikap ambil tahu kita adalah pancaran suci jiwa untuk membantu dan menolong di mana yang perlu.

Di sini perlunya rasa peduli yang positif supaya kita terus maju dan membangun. Ada juga rasa peduli terhadap perbuatan buruk seseorang yang menyebabkan timbul umpatan, keji-mengeji dan dan fitnah memfitnah.

Memang benar apabila rasa peduli itu terbentuk secara negatif, ia melahirkan sikap negatif pula. Umpatan, kejian, dan fitnah memfitnah bukanlah cara yang diajar oleh Islam untuk memanjangkan rasa peduli terhadap orang lain. Islam melarang kita mengaibkan orang lain dan diumpamakan sebagai meratah daging saudara sendiri.

Apa yang terjadi baru-baru ini terhadap golongan kanak-kanak sememangnya amat kita kesali. Bukan sahaja perbuatan suspek dan sekutunya dibenci, malah sikap penduduk sekeliling yang tidak peka dan tidak prihatin amatlah dikesali.

Tentunya kita tidak dapat membayangkan keadaan masyarakat di masa akan datang sekiranya terus dengan sikap tidak peduli atau takut bertindak menentang kekejaman di hadapan mata.

Menolong orang yang dalam kesusahan adalah suatu yang digalakkan dalam Islam, apatah lagi sekiranya ia berlaku di hadapan mata sendiri.

Pernah penulis mendengar cerita seorang pengacara di televisyen tentang pengalamannya diketuk pintu dan diperiksa oleh pihak polis di luar negara pada tengah malam kerana hanya anaknya menangis kuat dan lama.

Setelah itu baru diketahui bahawa jiran-jiran sekeliling telah melaporkan kejadian itu kerana khuatir sesuatu yang buruk telah berlaku kepada anaknya itu kerana mendengar tangisan luar biasa anak pengacara tersebut di tengah-tengah malam.

Selepas diperiksa bahawa anak itu dalam keadaan baik, maka barulah pihak polis pulang dan jiran-jiran dapat tidur dengan lena tanpa memikirkan sesuatu yang buruk telah terjadi pada kanak-kanak itu.

Barangkali sesetengah orang akan membayangkan situasi tersebut sebagai sesuatu yang melampau dan terlebih-lebih. Tetapi ada baiknya kita mencontohi kisah dan sikap kepedulian jiran-jiran terhadap keadaan sekeliling kerana keprihatinan dan kepedulian terhadap sesuatu hal bukan sahaja mampu menyelamatkan keadaan, malah juga nyawa.

Justeru, remaja harus ingat bahawa umat Islam adalah bersaudara. Perumpamaan kasih sayang seorang mukmin umpama tubuh; jika salah satu anggota tubuh terasa sakit, maka tubuh yang lainnya turut berasa sakit. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Mengambil tahu dan mempunyai rasa peduli terhadap orang lain adalah sesuatu yang dituntut di dalam Islam.

Kesimpulan

Sikap peduli sangat penting untuk dipupuk dan diamalkan sedari kecil. Kanak-kanak diajar untuk menghormati orang lain, peka terhadap perasaan sendiri dan orang lain serta dididik dengan sikap menginsafi keadaan orang lain yang dalam kesusahan.

Zaman remaja pula diperkukuhkan dengan sikap suka menolong dan ringan tangan untuk membantu ibu bapa dan orang sekeliling yang memerlukan. Apabila didikan-didikan ini dibajai dengan baik, remaja akan menginsafi bahawa mereka akan tua suatu hari nanti dan memerlukan bantuan orang lain pula.

Sekiranya remaja sudah terbina dengan asas peduli yang baik, dengan sendirinya akan lahir masyarakat yang terbina dengan sifat kasih sayang dan tolong menolong ke arah kebajikan dan kebaikan bersama.

-AMAR M.N.M-
read more

UTAMAKAN KEBAJIKAN ANAK SELEPAS BERPISAH

Ibu bapa bercerai wajar patuhi perintah mahkamah berkaitan hak penjagaan, lawatan
KISAH perebutan hak penjagaan anak selalu menjadi isu besar antara pasangan yang bercerai. Apabila ibu diberikan hak jagaan ke atas anak, selalunya ayah mendapat hak lawatan. Begitulah sebaliknya.

Dalam amalan di mahkamah sama ada mahkamah syariah atau mahkamah biasa, apabila berlaku perceraian antara pasangan yang mempunyai anak, perkara besar yang diselesaikan adalah siapa mendapat hak jagaan ke atas anak-anak dan bagaimana urusan nafkah mereka selepas ini. Ada pasangan yang bercerai berjaya menyelesaikan dengan baik urusan jagaan anak-anak. Namun ada juga yang mengambil pendekatan keras, berebut, memburukkan pasangan di depan anak-anak, bergaduh dan ada yang melarikan anak-anak walaupun selepas diputuskan oleh mahkamah siapa berhak ke atas jagaan itu.

Ia sangat menyedihkan seolah-olah anak adalah barang yang tidak bernyawa dan tidak mempunyai perasaan. Sebenarnya dalam perebutan hak ke atas anak-anak, sama ada kita sedar atau tidak, anak-anak menjadi mangsa yang penuh konflik dalam jiwa mereka. Antara kasih kepada ayah dan kasih kepada ibu.

Walaupun salah seorang ibu bapa menang dalam pertikaian merebut hak jagaan, sebenarnya anak-anak terbabit menjadi mangsa dan kehilangan keindahan hidup seperti yang mereka gambarkan di bawah bumbung rumah tangga bahagia.

Kebajikan anak adalah faktor terpenting dan diiktiraf oleh semua mahkamah membabitkan urusan perceraian. Seksyen 86(2) Akta Undang-undang Keluarga Wilayah Persekutuan contohnya menyatakan, ‘untuk memutuskan dalam jagaan siapakah seseorang kanak-kanak patut diletakkan, pertimbangan yang utama ialah kebajikan kanak-kanak itu tertakluk kepada pertimbangan berkenaan, mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada kemahuan ibu bapa kanak-kanak dan kemahuan kanak-kanak itu jika dia sudah meningkat umur dapat menyatakan sesuatu pendapatnya sendiri’.
Apabila pada pendapat mahkamah kebajikan anak akan lebih terjaga apabila berada bersama ibu, maka mahkamah akan memutuskan sedemikian. Namun jika anak sudah mencapai tahap umur mampu memberitahu isi hatinya dengan baik dengan siapa dia ingin tinggal, mahkamah akan meneliti perkara ini sebelum memutuskan siapakah yang mendapat hak jagaan itu.

Bukan hak siapa yang sepatutnya menjadi taruhan tetapi kebajikan anak adalah paling penting untuk diperhatikan. Kita seharusnya meletakkan kepercayaan dan mematuhi keputusan mahkamah sama ada keputusan Mahkamah Syariah bagi ibu bapa Muslim atau keputusan mahkamah biasa bagi yang bukan Muslim. Keputusan mahkamah sewajarnya diikuti kerana ia adalah pemutus kepada sebarang pertikaian.


Kes melarikan anak daripada tangan pihak yang mendapat hak jagaan juga bukan perkara baru dalam masyarakat kita. Ibu bapa yang bertikai seharusnya cuba menilai kebajikan anak mereka dan kesan negatif perebutan yang berlaku.

Dalam satu kajian di California oleh pakar psikologi, Judith Wallerstein selama 25 tahun terhadap 131 kanak-kanak yang menjadi mangsa cerai mendapati anak-anak ini mengalami tekanan jiwa yang hebat. Daripada 131 kanak-kanak yang diikuti sehingga mereka menjadi dewasa, sebilangan besar terbabit dengan arak, dadah, melakukan zina/seks bebas di awal usia kerana tekanan dialami.

Separuh daripadanya membesar dengan jiwa bermasalah dan berakhir dengan melakukan keganasan rumah tangga, bercerai dengan pasangan dan tidak mempunyai hala tuju hidup yang baik. Kesimpulan kajian itu, beliau mendapati kanak-kanak ini menghadapi masalah komunikasi dan berakhir dengan mereka sendiri melakukan pusingan sama, iaitu tidak bahagia dalam perkahwinan dan melalui hidup bercerai yang hampir sama dengan apa dilalui oleh ibu bapa mereka.

Bayangkanlah bagi anak-anak yang menjadi mangsa perebutan, dilarikan kerana perebutan hak jagaan yang tidak berkesudahan. Sudahlah ibu bapa bercerai, perebutan seolah-olah mereka adalah barang dagangan akan menyebabkan kesan dalam jiwa yang lebih besar kepada anak-anak.

Akhbar di Australia pada 24 Februari lalu, menyiarkan satu berita menggemparkan mengenai perebutan anak antara pasangan selepas cerai. Seorang ibu disabitkan hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah di Brisbane kerana membunuh anak mereka berumur enam tahun dan 10 tahun.

Ini berikutan Mahkamah Keluarga mengeluarkan perintah bahawa anak-anak diberikan hak lawatan menyambut hari Krismas bersama ayah mereka. Tidak dapat menerima keputusan itu dan sebagai membalas dendam kepada bekas suami, si ibu mengambil tindakan nekad membunuh anak-anak mereka.

Kisah pembunuhan pada November 2002 itu menjadi tajuk hangat sehingga hakim kes terbabit menyebut: “Perbalahan hak jagaan ke atas anak tidak boleh menjadi alasan untuk mengambil dua nyawa yang masih muda. Tidak ada sebarang alasan untuk membenarkan sebarang serangan ke atas kanak-kanak, apatah lagi membunuh mereka.”

Berkaitan dengan melarikan anak daripada penjaga yang sah, mahkamah di Australia sekarang sudah menukar pendekatan apabila membenarkan gambar anak-anak yang dilarikan daripada ibu atau bapa yang diberikan hak jagaan disiarkan di dada akhbar dan laman web mahkamah.

Akhbar The Sunday Herald Sun pada 14 Mac lalu membuat laporan khusus mengenai kes sebegini menyatakan bahawa, ia adalah keputusan baru sebagai langkah terakhir mencari anak yang dilarikan terutama selepas berlaku perceraian. Alasan diberikan oleh pihak mahkamah dan juga polis adalah demi menjaga kebajikan anak.

Apakah pendekatan itu boleh dibawa ke Malaysia? Islam mengiktiraf bahawa hubungan perkahwinan yang tidak dapat diselamatkan boleh diakhiri dengan perceraian. Walaupun ia tidak disukai Allah tetapi tetap dibenarkan dalam situasi tertentu.

Apa yang penting adalah perceraian di antara ibu bapa janganlah menjadi alasan untuk menghancurkan jiwa anak-anak. Alangkah baik sekiranya hubungan ibu bapa berakhir tetapi anak-anak tetap merasai kasih sayang yang sama kerana urusan hak jagaan dan nafkah mereka diputuskan dengan baik di antara ibu dan bapa mereka.

Sekiranya ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, seharusnya jalan pintas bukan melarikan anak tetapi menggunakan saluran mahkamah juga untuk mendapat penghakiman yang lain.

-AMAR M.N.M-

read more

Jumaat, 26 Mac 2010

BERSIKAP LEMBUT DAYA TARIKAN TERHADAP ISLAM

DARIPADA Anas, katanya: “Aku berjalan bersama Rasulullah SAW. Baginda memakai selendang kasar tepinya buatan Najran. Baginda bertemu seorang Arab badwi lalu direntapnya selendang Baginda dengan rentapan yang kasar sehingga aku melihat kesan di tengkuk Baginda akibat rentapan itu.

Kemudian orang Arab itu berkata: Wahai Muhammad perintahkanlah supaya diberikan kepadaku daripada harta Allah apa yang ada pada kamu. Maka Rasulullah SAW berpaling kepadanya sambil ketawa. Kemudian Baginda memerintahkan supaya diberikan sedekah kepadanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW adalah seorang yang pemaaf dan tidak suka membalas dendam serta tidak mudah marah. Umat Islam hendaklah mencontohi sifat mulia mempunyai nilai kebaikan tinggi yang akan menimbulkan kesedaran kepada orang lain yang menerimanya.

Islam menggalakkan umatnya bertindak dengan cara bijaksana apabila berhadapan golongan jahil dan hendaklah menunjukkan sikap lemah lembut supaya dapat menarik hati mereka kepada Islam. Umat Islam tidak digalakkan bersikap kasar terhadap golongan jahil kerana ia akan menimbulkan fitnah terhadap Islam dan menyebabkan golongan tersebut semakin jauh dari Islam.

-AMAR M.N.M-
read more

Rabu, 3 Mac 2010

MISI AGENDA SETEMPAT (MAS)



Pada 18 Februari 2010, Skuad Prihatin Johor, Sdra. Azamuddin dan Sdri. Siti Nur Syahirah bersama wakil Biro Prihatin Batu Pahat, Sdra. Azlan dan sdra. Naim telah menziarahi satu keluarga di Parit Tengah, Kampung Sungai Ayam, Batu Pahat Johor. Misi kali ini adalah untuk mengetahui lebih lanjut mengenai status keluarga ini bagi membantu mereka. Apabila tiba di kediaman mereka, kami amat terkejut melihat rumah mereka yang sangat uzur dan usang. Menurut Puan Sutina, mereka telah tinggal disitu selama 2 tahun. Sebelum ini mereka mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak dua kali sahaja. Perkahwinannya bersama Encik Mohd. Rahim dikurniakan anak seramai lima orang yang berumur 13, 12, 9, 8, dan 2 tahun. 3 dari 5 orang anak mereka telah dihantar ke asrama anak yatim di Kuala Lumpur untuk meneruskan pelajaran mereka. Menurut Puan Sutina, anak ketiga mereka menghidap penyakit buah pinggang dan perlu menjalani rawatan di hospital pada setiap bulan. Encik Mohd. Rahim yang bekerja sebagai pekebun dan kadangkala menangkap ikan di laut tidak mempunyai pendapatan tetap setiap bulan bagi menampung mereka sekeluarga. Rumah mereka juga tidak mendapat bekalan elektrik menyebabkan mereka terpaksa bergelap di malam hari. Kami juga turut merasakan suasana tersebut.


Setelah selesai solat berjemaah bersama dan memberikan sedikit tazkirah, skuad pun meredah malam menuju ke pasar malam yang berdekatan untuk membeli sedikit makanan dan kemudian menuju ke rumah Sdri. Syahirah untuk sesi perbincangan mengenai tindakan dan perancangan seterusnya. Sdra. Azlan dan Azamuddin akan bertindak memberi surat kepada pihak JKM bagi membantu memohon bantuan untuk keluarga tersebut.

-LD AKTIVITI-
read more

PENDUDUK DI LUAR KEDIAMAN



Korban gempa Chile meningkat, cetus kebimbangan tsunami di Pasifik

CONCEPCION: Penduduk Chile tidur dalam khemah di luar rumah kerana takut gempa susulan berlaku ketika pihak berkuasa terus berusaha menilai kemusnahan terhadap sektor pengangkutan, tenaga dan infrastruktur.

Di bandar Concepcion, bandar yang menempatkan 670,000 penduduk, 115 kilometer di barat daya pusat gempa, beratus-ratus penduduk bermalam dalam khemah di luar rumah dan kediaman bergerak. Kereta remuk, tiang bekalan yang tumbang dan kaca berserakan memenuhi jalan.Selain itu, 100 orang dikhuatiri tertimbus di bawah bangunan pangsapuri selepas gempa itu. Anggota bomba menggunakan penyodok bagi mencari mangsa. Sekurang-kurangnya dua juta penduduk di Chile terjejas akibat gempa bumi, kata Presiden Michelle Bachelet. Gempa juga memberi cabaran pertama kepada jutawan, Sebastian Pinera yang dilantik sebagai Presiden Chile, Januari lalu.

Gempa bumi terkuat dalam abad ini melanda Chile awal kelmarin membunuh lebih 300 orang selain menumbangkan bangunan dan mencetuskan amaran tsunami di seluruh Pasifik. Ia juga memusnahkan sebahagian besar infrastruktur di negara pengeluar tembaga utama dunia dan satu daripada negara Amerika Latin yang paling stabil dalam ekonomi. Tsunami dilaporkan membunuh sekurang-kurangnya empat penduduk di pulau Juan Fernandez, Chile dan menyebabkan kemusnahan teruk sebahagian bandar pelabuhan Talcahuano.

Sementara itu di bahagian lain Pasifik, pantai utara Jepun turut dilaporkan mengalami tsunami setinggi 90 cm dan pihak berkuasa bimbang satu lagi ombak lebih besar akan melanda. Pihak berkuasa di timur jauh Russia, Semenanjung Kamchatka melaporkan gelombang setinggi 80 sentimeter tetapi tiada kerosakan dilaporkan dan amaran tsunami ditarik balik. Negara lain yang mengeluarkan amaran tsunami termasuk Jepun, Filipina, Australia, New Zealand, Fiji dan Samoa. Di Tokyo, ombak tsunami yang melanda tidak menyebabkan sebarang kemusnahan selepas membadai pulau Pasifik yang menjadi laluannya.


Agensi meteorologi Jepun berkata, gelombang besar tsunami awal itu berikutan gempa bumi berukuran 8.8 di Chile, dicatatkan di utara Jepun setinggi 90 sentimeter. Satu lagi dilaporkan mencapai ketinggian 30 sentimeter melanda Hokkaido, juga di utara. Tiada laporan mengenai kemusnahan.

Ketika melintasi Pasifik, ombak tsunami turut melalui kawasan dengan penduduk termasuk Hawaii, Amerika Syarikat. Pusat Amaran Tusnami Pasifik sudah menarik balik amaran di semua negara kecuali Russia dan Jepun manakala Filipina, Australia dan New Zealand terus memantau sebagai langkah berjaga-jaga. Gempa terbesar dalam sejarah berlaku di kawasan sama di Chile pada 22 Mei 1960 dengan kekuatan 9.5 skala Richter menyebabkan 1,655 orang maut dan dua juta kehilangan tempat tinggal. Gempa terbaru menyamai kekuatan gegaran yang melanda pantai Ecuador pada 1906 dan ke-7 paling kuat dalam sejarah. -Reuters

read more