Ads 468x60px

Khamis, 15 April 2010

MISI ZIARAH KE-3: KEMBARA BELIA KE PESISIR PANTAI MINYAK BEKU,BATU PAHAT

Pada 4 April 2010 yang lalu, Biro Prihatin ABIM Batu Pahat dan Skuad Prihatin Johor telah menjalankan misi ziarah yang ketiga iaitu kembara belia ke Pesisir Pantai Minyak Beku, Batu Pahat. Misi ini adalah kesinambungan dari misi ziarah Biro Prihatin ABIM BP yang pertama yang telah dijalankan pada 17 Januari 2010 yang lalu. Objektif utama ziarah ini ialah untuk memantau perkembangan pesisiran pantai selepas ziarah pertama dijalankan.
Pada ziarah pertama, Biro Prihatin ABIM BP telah membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar berkenaan pencemaran yang telah melanda pesisiran pantai dan juga berkaitan pembuangan najis babi ke pantai tersebut. Misi ini telah disertai oleh 15 orang peserta termasuk seorang pensyarah dari Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dari Jabatan Kejuruteraan Awam (Bahagian Alam Sekitar), Encik Mohd. Baharudin Bin Ridzuan serta seorang wartawan Akhbar Kosmo, Cik Azma Razana Binti Johari.

Setelah bersarapan pagi, satu sesi taaruf dan taklimat ringkas telah diadakan pada jam 9.15 pagi. Taklimat disampaikan oleh saudara Mohd. Azlan, Ketua Biro Prihatin ABIM Batu Pahat. Selepas itu skuad bergerak menuju ke pantai dan menaiki bot yang telah sedia menanti di tepi pantai.
Skuad telah dibawa melawat ke Pulau Sialu iaitu sebuah pulau yang menjadi penempatan awal bagi penduduk Kampung Segenting, Minyak Beku sejak 500 tahun lalu sebelum berpindah ke penempatan sekarang. Di pulau tersebut masih terdapat kesan-kesan penempatan seperti tangga surau yang pernah di bina di pulau tersebut.
Encik Amran, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung Telok Minyak Beku menerangkan bahawa pulau tersebut telah menempatkan seramai 300 orang penduduk sebelum ini kemudian penduduk-penduduk tersebut dipindahkan ke darat iaitu penempatan sekarang. Skuad melawati sekitar pulau tersebut dan mendapati terdapat banyak sampah yang hanyut dari pantai telah berkumpul di pulau tersebut. Skuad juga berpeluang melihat perigi yang seing digunakan oleh penduduk pulau dan menaiki rumah api di pulau tersebut.




Skuad kemudian memudiki ke muara Sungai Batu Pahat dan ke Pelabuhan Batu Pahat.



Pelabuhan tersebut menjalankan aktiviti eksport batu kerikil dan kuari. Sepanjang perjalanan, satu bau yang kurang menyenangkan telah menusuk ke hidung semua peserta. Bau tersebut merupakan bau najis babi yang telah dialirkan ke Pantai Minyak Beku.



Secara tak langsung, aktiviti eksport dan pembuangan najis babi tersebut telah menjejaskan habitat haiwan yang tinggal di dasar pantai kerana kekurangan oksigen serta habitatnya diganggu oleh aktiviti manusia. Ini juga menjejaskan pendapatan nelayan-nelayan yang terdiri dari penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan kerana ikan-ikan telah berpindah ke tempat lain. Kelihatan juga sampah terapung-apung di permukaan air di sekitar pelabuhan tersebut.

Skuad menikmati makanan tengahari di sebuah gerai yang terdapat di tepi pantai pada jam 1.00 petang. Setelah makan tengahari, satu sidang media bersama wartawan Akhbar Kosmo diadakan. Kehadiran wartawan ini adalah untuk membantu skuad menyiarkan dan menyampaikan kepada masyarakat mengenai apa yang telah berlaku di sekitar pesisiran pantai tersebut agar dapat menyedarkan masyarakat tentang kepentingan alam sekitar serta lebih peka terhadap isu tersebut.

Selepas selesai sidang media, skuad kemudian bergerak ke Kampung Telok Minyak Beku. Skuad meninjau dan bermesra dengan orang-orang asli yang merupakan warga kampung tersebut. Kemudian skuad terus menuju ke Kampung Sungai Banang bagi meninjau lokasi penempatan baru orang asal dan menyelusuri permasalahan yang dihadapi para penduduk yang bakal berpindah ke tempat tersebut. Antara permasalah yang diutarakan ialah isu kandang babi, pencemaran sungai berhampiran, dan pencemaran berpunca dari kawasan perlombongan berhampiran.



Setelah mendengar masalah yang diutarakan, skuad telah meninjau lokasi kandang khinzir Swee Huat Farm yang terletak berhampiran penempatan semula dan mendapatkan bukti sahih berkenaan permasalahan kewujudan kandang khinzir di kawasan berkenaan. Saudara Azlan menyatakan bahawa beliau akan membuat surat aduan berkenaan permasalahan yang melibatkan kandang khinzir kepada jabatan Veterinar Batu Pahat.
Beliau juga akan membuat aduan dan membawa isu permasalah penduduk setempat kepada Pegawai Daerah Batu Pahat, (District Officer Batu Pahat) dan membuat pemerhatian semula, (Follow Up) dengan Jabatan Alam Sekitar Batu Pahat, JAS.



Diharapkan agar semua masyarakat lebih peka terhadap isu alam sekitar kerana bukan kita sahaja yang ingin melihat hijaunya pepohon di sekitar dan birunya air laut, generasi akan datang juga perlu menikmati keindahan yang telah diciptakan oleh Allah s.w.t ini. Selain itu, alam sekitar juga mempengaruhi kesihatan kita. Kita perlulah menghargai alam sekitar ini sebaiknya kerana sudah terlalu banyak penyakit yang telah menular dan menyerang masyarakat masakini. Jika bukan kita, siapa lagi. Jika tidak sekarang, bila lagi.



By: LD AKTIVITI
read more

Selasa, 13 April 2010

lmu Bantu Lahirkan Keluarga Bahagia

Seisi keluarga, anak perlu sentiasa jadikan al-Quran, Sunnah sebagai panduan hidup

PELAJAR 14 tahun ditangkap kerana melacur, pagi pergi sekolah dan sebelah malamnya menjadi pelacur antara kisah benar masyarakat kini. Apabila ditanya mengapa melacur, jawapannya mudah iaitu emak dia juga melacur. Dalam telefon bimbit pelajar itu banyak dirakamkan aksi lucah yang didakwanya dikirim sendiri oleh emaknya. Budak dua beradik berusia 11 dan 12 tahun ditahan di Penjara Kajang kerana terbabit dengan jenayah. Ibu bapa kedua-dua budak itu enggan menjamin kerana sudah tiada kuasa melayan kerenah anak yang dianggap tidak dapat dikawal.

Mereka bersedia melihat anak dipenjara dengan harapan dapat dididik oleh pihak penjara. Seorang gadis berusia 16 tahun tidak tahu dia sudah mengandung dan meluahkan perasaan tidak tahu mengenai seks. Kes seterusnya seorang bapa yang juga seseorang disegani kerana amalan agamanya tidak tahu di mana untuk mengasingkan anaknya yang sudah mengandung.

Ini adalah antara kes didedahkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zawiah Hassan, ketika mengupas tajuk ‘Ilmu Menjana Keluarga Bahagia’ di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul, Ahad lalu.



Kes yang didedahkan itu antara krisis moral dihadapi masyarakat kini yang memerlukan kesedaran ibu bapa untuk membendungnya. Di dada akhbar pada hari ini pula ada memaparkan seorang bayi yang tidak cukup bulan ditemui di dalam tong sampah dan ini bukanlah kali pertama perkara ini terjadi, malah seperti sudah menjadi kelaziman pasti ada sahaja kes-kes sebegini dilaporkan.

Ibu bapa yang mempunyai hubungan rapat dengan anak kerana merekalah yang merasai sakit ketika melahirkan, tidak harus membiarkan anak mendapat pandangan orang lain jika berdepan dengan masalah, kata Zawiah ketika menegaskan tanggungjawab ibu bapa.

“Sebagai ibu, kita tidak boleh berasa lega jika anak terperap di dalam bilik kerana banyak unsur tidak baik yang dipelajari anak menerusi komputer dan telefon bimbit.

“Sebenarnya kemudahan internet berguna kalau ia digunakan dengan betul, tetapi jika disalahgunakan, anak kita yang akan merana. Di sinilah ibu bapa perlu dilengkapi dengan ilmu supaya dapat mengawal pergerakan anak,” katanya.

Seseorang ibu yang tidak berilmu, beramal salih, tidak mungkin dapat mendidik anak ke jalan yang benar. Bukan mudah untuk memujuk anak solat, jika ibu itu tiada kesabaran. Biasanya untuk memastikan anak itu solat, ibu terpaksa berkali-kali bertanya.

“Samalah juga azan yang berkumandang lima kali sehari belum tentu dapat mengajak ummah sembahyang,” katanya.

Seseorang ibu juga perlu bercakap menggunakan bahasa yang baik kerana setiap yang diperkatakan itu adalah doa untuk anak.

“Setiap yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, hendaklah bercakap benda baik. Kalau apa yang dikatakan itu tidak baik, lebih baiklah diam. Begitulah juga jika kita berdepan sesuatu masalah, jika diam lebih baik sebagai jalan penyelesaian kepada kekusutan, maka ia lebih baik daripada kita bercakaran sehingga membawa kemusnahan,” katanya.

Zawiah juga menyentuh gejala sosial yang berlaku berpunca daripada kepincangan rumah tangga.

Ada pasangan yang baru mendirikan rumah tangga mengaku tidak selesa hidup bersama kerana masing-masing mengabaikan solat.

“Apakah selamat hidup kita apabila suami, emak mentua tidak menunaikan ibadat tiang agama itu,” soalnya.

Pengaruh sekeliling menyebabkan kanak-kanak cepat baligh. Kalau dulu remaja baligh pada usia 15 tahun, kini ada kanak-kanak sudah baligh pada usia 10 tahun.

“Purata umur bagi lelaki berkahwin sekarang ialah 28.8 tahun, manakala wanita 25.6 tahun. Bayangkan masa yang terlalu panjang dilalui selepas baligh pada usia 10 tahun? Akibat faktor ini banyak gejala tidak sihat berlaku kerana tidak dapat mengawal nafsu,” tambahnya.

Bagi membendung gejala sosial, ibu bertanggungjawab menjelaskan kepada anak gadis mengenai apa yang perlu dibuat dan dielak apabila sudah datang haid. Mereka tidak boleh lagi bermesra dengan adik beradik lelaki, mahupun bapa sendiri bagi mengelak sumbang mahram.

Malangnya, oleh kerana sibuk dengan kerja harian, ada ibu lupa tanggungjawab mendidik anak dan ia menjadi punca anak pergi kepada rakan atau ‘peer group’ yang bukan membantu, tetapi meletakkan mereka dalam kemelut yang tiada penamatnya.

Zawiah juga mengingatkan ibu tidak menjadi ‘orang gaji’ kepada anak. Seseorang anak dilarang mengeluarkan kata-kata kasar kepada ibu. “Apabila ibu menjaga cucu dan mungkin mengabaikan tanggungjawab, anak sudah tentu mengeluarkan kata-kata kasar kerana kecuaian itu.

“Sama ada menengking atau perkataan uh! sekalipun ia tetap mengecilkan hati ibu dan perbuatan ini adalah berdosa. Lainlah jika cucu itu dah besar dan boleh memimpin neneknya ke masjid,” katanya.

Dalam mengharungi usia tua, ibu sepatutnya lebih banyak menghabiskan masa beramal seperti firman tuhan bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan mengerjakan amal salih dan berpesan kepada kebenaran dan kesabaran” (Al’Asr).

Dalam melalui kehidupan ini ingatlah pesan Rasulullah, jaga lima perkara sebelum datang lima perkara iaitu: muda sebelum tua; senang sebelum datangnya sibuk; kaya sebelum miskin; sihat sebelum sakit dan hidup sebelum datangnya kematian.

read more

Rabu, 7 April 2010

Acheh dilanda gempa bumi kuat

JAKARTA - Satu gempa bumi kuat berukuran 7.7 pada skala Richter berlaku di Sinabang, Aceh pada pukul 5.15 pagi ini, namun belum ada laporan mengenai kecederaan atau kerosakan harta benda.

Gempa yang berlaku di kedudukan 75 kilometer ke Tenggara Sinabang itu berkedalaman 34 kilometer di bawah permukaan laut, turut dirasai sehingga ke Meulaboh.


Pihak berkuasa telah pun mengeluarkan amaran tsunami, bagaimanapun ditarik balik kira-kira pukul 7.30 pagi dan keadaan di Aceh dilaporkan kembali seperti biasa.

Gegaran gempa turut menyebabkan bekalan elektrik dan telekomunikasi terputus seketika di Medan manakala penduduk Aceh turut keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

Empat gempa susulan dengan ukuran antara 5.1 dan 5.2 pada skala Richter turut berlaku.

Bagaimanapun, sejumlah 165 pelajar Malaysia di Aceh dilaporkan selamat. -Bernama

read more

Gempa di Aceh: Gegaran dirasai di Kuala Muda, Kedah

ALOR SETAR: Gegaran akibat gempa bumi kuat berukuran 7.2 pada skala Richter di Sinabang, Aceh pagi ini turut dirasai di Kota Kuala Muda, kawasan nelayan yang dilanda tsunami pada Disember 2005.

Menurut saksi, kejadian itu tidak menyebabkan panik berikutan siren amaran tsunami yang dipasang oleh Jabatan Meteoroloji berdekatan pantai Kota Kuala Muda tidak dibunyikan.

Gempa berkenaan berlaku pada kedudukan 75 kilometer ke Tenggara Sinabang, berkedalaman 34 kilometer di bawah permukaan laut kira-kira 5.15 pagi ini waktu tempatan, dipercayai turut dirasai di beberapa tempat di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Pengerusi Taman Permatang Katong (penempatan mangsa tusnami 2005), Yusoof Awang berkata beliau turut merasai gegaran itu semasa bersiap untuk ke laut menangkap ikan.

"Beberapa rakan nelayan yang berada di tepi pantai merasai gegaran akibat gempa itu kira-kira 6.15 pagi dan menelefon memberitahu saya mengenai kejadian itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Yusoof berkata beliau bergegas ke tepi pantai untuk mendapatkan pengesahan mengenai kejadian itu sebelum menelefon nelayan-nelayan yang telah pun turun ke laut supaya pulang sebagai langkah keselamatan jika berlaku ombak besar.

"Ada yang baru melabuh pukat terus mengarau pukat... yang telah melabuh pukat memperoleh sedikit tangkapan. Kira-kira pukul 9 pagi ramai antara mereka tiba di pantai," katanya.
Sementara itu, seorang penghuni Taman Permatang Katong, Salmah Ismail, 75, berkata beliau merasai gegaran semasa dalam perjalanan ke surau taman itu kira-kira 6.15 pagi.

"Gegaran dirasai di sekitar kawasan rumah. Mulanya saya rasa cemas namun menjadi tenang dalam beberapa saat apabila keadaan kembali normal," kata mangsa tsunami pada 2005 itu. - Bernama
read more

Jumaat, 2 April 2010

H1N1: 3 sekolah di Langkawi dikuarantin

LANGKAWI: Tiga buah sekolah di Langkawi diarah ditutup kerana terdapat pelajarnya mengalami simptom demam, batuk dan selesema seperti influenza.

Jurucakap Pejabat Kesihatan Langkawi berkata sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi Pulau Tuba, yang diarah ditutup sejak Selasa manakala Sekolah Kebangsaan Bagan Selat Nyiur diarah tutup semalam, dengan kedua-duanya dijadual dibuka semula pada Ahad ini.

Sebuah lagi sekolah, iaitu Sekolah Menengah Teknik Langkawi yang diletakkan dalam pengawasan oleh Jabatan Kesihatan turut diarah ditutup hari ini sehingga Isnin, katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya seramai 208 pelajar dari tiga sekolah berkenaan menerima rawatan kerana mengalami simptom itu.

Beliau berkata mereka dirawat mengikut prosedur biasa sebagai pesakit luar
dan tiada kes serius berlaku semasa rawatan itu dibuat.

Pihaknya masih menunggu keputusan sampel yang diambil daripada pelajar yang terkena jangkitan, yang diuji di makmal Hospital Sungai Buloh, Selangor, sama ada ia berkaitan dengan jangkitan Influenza A (H1N1) atau tidak.

Sementara itu, Pejabat Pelajaran Daerah Langkawi mengeluar arahan kepada 28 buah sekolah menengah dan rendah di Langkawi bagi meningkatkan program pencegahan di kalangan pelajar masing-masing. - Bernama

Kita perlulah sentiasa menjaga kesihatan dengan baik. Langkah-langkah pencegahan H1N1 juga telah didedahkan kepada seluruh rakyat Malaysia dan ia perlu diamalkan kerana ketika ini Malaysia bukan sahaja di landa oleh H1N1 malah kes yang melibatkan demam denggi juga semakin meningkat. Hargai kesihatan anda. Bak kata pepatah "mencegah itu lebih baik dari merawat".

-Izz Qatrunnada-
read more