Ads 468x60px

Ahad, 31 Januari 2010

Bengkel IT ABIM Johor

Hari Sabtu ,30 Januari 2010 bersamaan 14 Safar 1431 Hijrah , Skuad Prihatin ABIM Johor telah menghantar dua orang wakil untuk mengikuti Bengkel IT anjuran ABIM Johor di Kompleks Mustika Embun , Jalan Abdul Rahman Andak, Johor Bahru, Johor Darul Ta'zim. Mereka ialah Sdri. Siti Nur Syahirah Binti Osman dan Sdri. Raibatul Adawiah Binti Ahmat Miskam.Seramai 17 orang peserta yang mengikuti bengkel ini merupakan ketua daripada setiap agensi dan juga daerah di sekitar negeri Johor. Sdr. Zoolhilmi Bin Ahmed, Sdri. Raja Nurul Ain Binti Raja Md.Arif dan Sdri. Siti Nur Syahirah Binti Osman adalah tenaga pengajar jemputan dalam Bengkel IT ini. Dengan kepakaran dan ilmu yang mereka miliki, bengkel ini Alhamdulillah berjalan dengan jayanya.

Matlamat utama bengkel ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan menyeluruh kepada staf-staf ABIM Johor tentang penggunaan teknologi maklumat marcapada ini. Hal ini kerana kebanyakan mereka adalah daripada golongan veteran yang kita maklum bahawa mereka kurang arif dalam penggunaan teknologi maklumat kini.Tambahan pula, kemahiran penggunaan IT dalam kalangan staf ABIM Johor baru ditekankan kepada semua staf mulai tahun 2010.
Oleh hal yang demikian, ABIM Johor telah memikirkan satu mekanisme yang terbaik sebagai satu platform kepada semua staf ABIM Johor supaya mereka berpeluang mengetahui dan mengadaptasikan ilmu ini di peringkat pengurusan agensi masing-masing nanti.Selepas bengkel ini dijalankan, segala urusan surat menyurat antara sekretariat dengan setiap staf hanya akan dimaklumkan melalui e-mail. Dengan ini, pihak pengurusan ABIM akan menjadi lebih efisyen dan tiada masalah penghantaran maklumat ke tempat yang jauh lagi.

Menbuka tirai bengkel ialah pengenalan e-mail kepada para peserta . Slot ini dikendalikan oleh Sdri. Raja Nurul Ain Binti Raja Md. Arif. Melalui slot ini para peserta berpeluang mengetahui lebih mendalam mengenai penggunaan e-mail dengan betul dan setiap peserta perlu membuat e-mail berdasarkan agensi mereka. Selepas itu, slot blogger diisi oleh Sdr. Zoohilmi bin Ahmed .Melalui slot ini peserta mempelajari kaedah untuk mengaplikasikan teknologi dengan mewujudkan blog bagi agensi masing-masing . Buat perjumpaan Bengkel IT yang pertama ini, peserta hanya didedahkan dengan perkara asas dalam ilmu blogger agar peserta dapat memahami sedikit demi sedikit kaedah mengakses , memperbaharui dan menambah gajet bagi blog mereka nanti.Alhamdulillah , sesi slot ini berjalan dengan lancar walaupun terdapat sedikit kesukaran yang dihadapi oleh peserta untuk memahami perkara ynag disampaikan . Dengan tunjuk ajar yang berkesan daripada tutor jemputan,perkara ini dapat diatasi dengan baik.

Diharap usaha pihak ABIM negeri memperkenalkan sistem penggunaan teknologi maklumat dalam bidang pengurusan berupaya mengubah corak pengurusan negeri kepada lebih efektif dan efisyen . Selain itu, ilmu yang digarap oleh peserta dapat dimanfaatkan dengan menyampaikannya kepada staf di bawah seliaan mereka dan mampu memperkenalkan agensi mereka kepada masyarakat luar setelah blog dapat dihasilkan dengan sempurna kelak. Insya-Allah, pihak ABIM negeri akan mempertemukan peserta Bengkel IT ini sekali sebulan untuk memantapkan lagi ilmu yang sedia ada.
read more

Khamis, 28 Januari 2010

69 Gempa Kecil

Setiap kali berlaku gempa bumi termasuk yang mengakibatkan tsunami, Malaysia pasti merasainya gegarannya, bahkan ketika tsunami melanda 2004, utara Semenanjung iaitu Langkawi, Kuala Muda, Kedah dan Pulau Pinang turut terkena musibah dilanda ombak besar.

Sekali pun Malaysia dikatakan masih selamat kerana berada di luar 'Lingkaran Api Pasifik', sebenarnya masih berlaku gempa bumi di negara ini tetapi dikategorikan sebagai lemah dan sederhana tidak mengakibatkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa.

Hakikatnya, berdasarkan rekod dari 2000 hingga Mei 2009, sebanyak 69 kali gempa bumi dilaporkan berlaku di Malaysia iaitu masing-masing 31 kali di Semenanjung dan Sabah, manakala tujuh lagi di Sarawak.

Bagi kes gempa bumi di luar Malaysia dan gegarannya dirasai di sini ialah sebanyak 35 kes iaitu 31 kali di Semenanjung dan empat kali di Sabah. Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) berpendapat, secara relatifnya, Semenanjung adalah stabil dari segi seismotektonik.


Timbalan Ketua Pengarah (Aplikasi), JMM, Alui Bahari, berkata gegaran gempa bumi yang dirasai di negeri pantai barat Semenanjung berpunca daripada gempa bumi bermagnitud besar yang berpusat sama ada di barat Sumatera atau Laut Andaman.

“Semenanjung dikategorikan sebagai berisiko gempa bumi rendah. Kes gempa bumi di Bukit Tinggi, Pahang (tempoh 30 November 2007 hingga Mei 2008) boleh disifatkan sebagai kes terpencil.

“Keadaan agak berisiko di Sarawak dan Sabah kerana kedua-duanya termasuk dalam kawasan berisiko gempa bumi sederhana. Di Sarawak, kekerapannya ialah sekali bagi setiap 6 hingga 7 tahun tetapi di Sabah, ia berlaku sekali dalam setahun.

“Ini kerana ada beberapa garis sesar yang aktif di Sabah, antaranya ialah Garis Sesar Mensaban, Garis Sesar Crocker, Garis Sesar Tabin dan Garis Sesar Lobou Lobou,” katanya.

Bagi siri gempa kecil yang pernah berlaku di Bukit Tinggi, ia dipercayai kesan susulan daripada gempa bumi kuat yang berlaku pada 26 Disember 2004 yang menghasilkan bencana tsunami rentas sempadan.

Garis sesar yang terdapat di Bukit Tinggi sebelum ini dikategorikan sebagai garis sesar tidak aktif. Sehubungan itu, hanya gempa bumi bermagnitud kecil saja berpotensi berlaku di garisan sesar ini. Ia dipengaruhi oleh tekanan tektonik hasil pergerakan kerak bumi menyebabkan berlakunya pengumpulan tenaga.

“Apabila sampai ke tahap tertentu, tenaga itu dilepaskan sebagai gempa bumi kecil, tetapi gegarannya hanya dirasai di sekitar pusat gempa itu,” katanya.

Mengenai ramalan dan kajian risiko gempa bumi, Alui berkata, sehingga kini, saintis tidak dapat meramalkan waktu dan lokasi kejadian termasuk kekuatan gempa bumi.


Setakat ini, tiada isyarat awal untuk menjangkakan akan berlaku gempa kerana fenomena gempa semula jadi berlaku dengan kekuatan berbeza-beza di kawasan garis sesar aktif.

“Sesetengah gempa bumi terutama bermagnitud kecil tidak dirasai manusia, cuma dapat dikesan oleh sensor seismik. Bagi gempa bumi kuat, ia boleh mengakibatkan kerosakan teruk dan jika berlaku di dasar laut ia boleh menghasilkan tsunami,” katanya.


Adakah Malaysia juga akan megalami peristiwa seperti di Aceh dan Haiti? Trauma Tsunami masih membelenggu masyarakat di seluruh dunia, kini digemparkan pula dengan peristiwa di Haiti yang mengorbankan berpuluh-puluh ribu rakyatnya. Walaupun negara kita masih dikatakan selamat kerana berada di luar Lingkaran Api Pasifik, kita juga harus sentiasa berwaspada dan beringat bahawa peristiwa seperti ini juga boleh terjadi di mana-mana sahaja. Janganlah kita terlalu leka serta lalai dengan urusan-urusan seharian kita tanpa mempedulikan apa yang berlaku disekeliling kita dan ingatlah bahawa Allah s.w.t telah berfirman:

Ertinya: “Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); “Apakah yang sudah berlaku kepada bumi?” Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya: Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”

(Surah az-Zalzalah:1-8)



read more

Khamis, 21 Januari 2010

Gempa di Haiti : Bekalan Belum Mencukupi

PORT-AU-PRINCE 20 Jan. - Seminggu selepas gempa bumi meranapkan ibu negara Haiti, masyarakat antarabangsa masih belum dapat menyalurkan bekalan makanan dan air yang cukup kepada mangsa yang kebuluran dan kehausan.

Lapangan terbang di sini terus mengalami kesesakan teruk, pelabuhan belum dapat berfungsi, kerajaan Haiti tidak kelihatan memainkan peranannya, tidak ada pihak yang bertanggungjawab mengetuai operasi bantuan, dan polis sudah hampir berputus asa untuk mengawal keselamatan.

Ketika askar Amerika Syarikat (AS) mendarat dengan helikopter Seahawk di pekarangan Istana Negara semalam, usaha besar-besaran untuk membantu Haiti ternyata masih tidak memadai disebabkan kedahsyatan malapetaka itu dan batas keupayaan kerajaan-kerajaan di dunia. Jangkaan mengatasi apa yang sebenarnya dapat dicapai setakat ini dengan wang, kemahuan dan kekuatan ketenteraan sewaktu berdepan dengan kesan bencana yang sukar dibayangkan. Pasukan penyelamat terus beroperasi, sekalipun masa semakin suntuk bagi mangsa yang masih tertimbus dalam runtuhan.

Sebuah pasukan penyelamat Mexico yang ditubuhkan selepas gempa bumi di negara itu pada 1985 menyelamatkan Ena Zizi, 69, seminggu selepas wanita itu terperangkap di bawah runtuhan kediaman ketua biskop Roman Katholik Haiti. Mayat ketua biskop tersebut, Monsignor Joseph Serge Miot ditemui semalam dalam keadaan duduk di kerusi di dalam pejabatnya.

"Kami memerlukan begitu banyak bantuan. Makanan, pakaian dan segala-galanya. Saya tidak tahu siapa yang bertanggungjawab tetapi mereka perlu menghulurkan bantuan secepat mungkin," kata ibu kepada dua orang anak, Sophia Eltime, 29, yang mendakwa dia tidak makan sejak semalam.

Bukan sahaja rakyat Haiti yang bertanya mengapa bantuan begitu lambat sampai kepada mangsa satu daripada gempa bumi terburuk dalam sejarah: kira-kira 200,000 maut, 250,000 lagi cedera dan 1.5 juta hilang tempat tinggal. Pegawai di Perancis dan Brazil serta pertubuhan bantuan seperti Doktor Tanpa Sempadan merungut mengenai pelbagai halangan, keutamaan yang tidak betul dan ketiadaan kepimpinan dan penyelarasan.

"Puluhan ribu mangsa gempa bumi memerlukan pembedahan kecemasan sekarang!..." menurut siaran berita daripada Partners in Health, yang diasaskan bersama oleh timbalan duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Haiti, Dr. Paul Farmer. "Pengarah perubatan kami menganggarkan 20,000 mangsa meninggal dunia setiap hari sedangkan mereka boleh diselamatkan menerusi pembedahan," katanya. - AP

read more

Gempa di Haiti: Budak 11 Tahun dijumpai Selamat Selepas 8 Hari

PORT-AU-PRINCE : Seorang budak perempuan 11 tahun berjaya diselamatkan jirannya semalam selepas lapan hari gempa kuat melanda Haiti.

“Ia satu keajaiban, dia kembali bernafas perlahan-lahan.

"Dia mendapat restu Tuhan," kata Dominique Jean, seorang doktor perubatan di sebuah hospital yang disediakan sebuah Pasukan Bantuan Perubatan Perancis, di sini.

“Buah pinggangnya berfungsi seperti biasa, kami memberinya air garam serta makanan," katanya.

Kanak-kanak perempuan itu yang namanya tidak dilaporkan kini dirawat di sebiah klinik di tengah ibu negara ini. - AFP

read more

Sabtu, 2 Januari 2010

MAS di Kg. Baru, Batu Pahat









read more

Polemik Kalimah Allah: ABIM Kesal Keputusan Mahkamah

Kenyataan Media ABIM - Polemik Kalimah Allah: ABIM Kesal Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin menyatakan rasa kesal terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah Harold : The Catholic Weekly. Kesan utama kepada penggunaan ini ialah masyarakat bukan Islam diberikan hak berdasarkan tafsiran perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan ataupun penggunaan seharian, dan sebarang larangan oleh pihak berkuasa atau otoriti agama Islam adalah tidak sah.

ABIM menilai keputusan ini tidak bertepatan dengan semangat peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam di tempat yang istimewa di kalangan agama-agama lain di negara ini. Ia juga bertentangan dengan larangan penggunaannya yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri kerana ia dikenalpasti bakal mengelirukan akidah dan konsep ketuhanan di kalangan umat Islam, merobek sensitiviti umat Islam selaku majoriti di negara ini serta berpotensi menimbulkan ketidaktenramaan awam sekiranya tidak ditangani secara baik.

Justeru Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memohon campur tangan Majlis Raja-Raja Melayu untuk menghentikan segera polemik kalimah Allah. Gesaan ini selari dengan peruntukan perlembagaan persekutuan, yang menetapkan segala urusan berkaitan dengan hal ehwal agama Islam diletakkan di bawah kuasa serta naungan Raja-Raja Melayu.

ABIM juga menyeru agar pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak lebih tegas mengikut peruntukan perlembagaan, undang-undang sedia ada dan enakmen undang-undang Islam di negeri-negeri dan tidak mengeluarkan permit penggunaan tersebut pada masa-masa akan datang. ABIM juga menyeru agar pihak KDN menggunakan segala saluran perundangan yang ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang merobek sensitivit umat Islaam tersebut.

Akhir sekali, ABIM memohon agar semua pihak bertenang dan menghormati keputusan ini dan tidak bertindak secara emosional demi untuk menjaga keharmonian serta kestabilan hubungan di antara kaum di negara ini.


"Menegakkan Kebenaran & Keadilan"

MOHAMAD RAIMI AB.RAHIM
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia
read more

Jumaat, 1 Januari 2010

Jalan-Jalan Cari Kawan


Johor Bahru,31 Disember 2009 –Mencari ketenangan,melepak, mencari keseronokan,kebebasan dari keluarga, mencari pasangan dan melihat detik tahun baru adalah sebab mengapa anak muda suka untuk meraikan tahun baru pada setiap tahun. Itulah kesimpulan yang dibuat oleh skuad peninjau Biro Pembangunan Sosial ABIM.

Seramai 15 orang sukarelawan dari Skuad Prihatin Johor telah bersama-sama dengan ABIM Pusat untuk menjalankan operasi sambutan tahun baru pada hari tersebut.Bermula dengan taklimat pada jam 6.30 petang di Sekretariat ABIM Johor dan memilih Dataran Johor Bharu (Danga Bay) dan Stulang Laut untuk menjadi lokasi tinjauan.

Rombongan bertolak dari kompleks mustika Embun tepat jam 10 malam ke destinasi yang telah ditetapkan.Operasi yang berakhir pada jam 2 pagi itu menghasilkan 60 orang responden. Kebanyakan responden terdiri daripada belia yang berumur lingkungan 18-40 terutama golongan remaja, lelaki dan perempuan berbangsa melayu.

Ironinya, perkara seperti minum arak,seks bebas, pergaulan bebas mengambarkan bahawa akhlak remaja kini yang sudah susut nilai kualitinya. Oleh itu, Ibubapa perlu memberi pendidikan agama memantau anak mereka dari semasa ke semasa bagi mengelakkan benda-benda yang tidak diingini berlaku di kemudian hari.Masyarakat sekeliling juga perlu sama-sama dalam menangani masalah ini.

read more

SP ke Seoul, Korea Selatan

Pada 11-16 Disember 2009 yang lalu, Ketua Departmen Operasi Skuad Prihatin telah mengikuti Lawatan Mahabbah Antarabangsa (LAMA 09) ke Seoul, Korea Selatan anjuran URUSETIA LATIHAN PEMBANGUNAN MAHASISWA, UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA. Lawatan itu bertujuan untuk membuat kajian mengenai pergerakan badan-badan pelajar atau kelab dan persatuan pelajar di sana.

Di Korea, beliau sempat bertemu dengan Saudara Kamil Abdul Halim, iaitu Presiden PERSATUAN PELAJAR MALAYSIA KOREA (PPMK) yang juga merupakan ahli Persatuan Pelajar Islam Kelantan dan Ahli GRUP PENJEJAK TAMADUN DUNIA (GPTD) di Korea. Kami sempat membincangkan sedikit perkara mengenai penjagaan Kebajikan Pelajar Malaysia di sana.

bersama saudara Kamil di Iteawon

Beliau juga sempat bertemu dengan Saudara Mohammad Afif Kasno yang merupakan Alumni PKPIM UTM. Saudara Mohammad Afif Kasno atau lebih dikenali dengan nama Afif kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Master di Dongguk Universiti. Sedikit perbincangan dan perbualan bersama Afif mengenai kewujudan persatuan atau pertubuhan yang mirip dengan Skuad Prihatin. Menurut beliau, ia tidak wujud di Korea. Hal ini adalah kerana, sikap rajin berusaha dan perasaan tidak malu melakukan sesuatu pekerjaan membuatkan rakyat Korea dapat meneruskan kehidupan walaupun tidak semewah orang lain. Mereka melakukan apa sahaja pekerjaan demi meneruskan kehidupan.

bersama saudara Afif di Seoul Leisure Hotel

Seramai lapan orang deligasi Urusetia Latihan Pembangunan Mahasiswa telah turut serta dalam Lawatan Mahabbah Antarabangsa (LAMA 09) ini iaitu terdiri daripada tujuh orang pelajar dan seorang pegawai pengiring.
read more

Misi Agenda Setempat : Kg. Baru, Batu Pahat



Pada hari Sabtu, 26 Disember 2009 yang lalu Skuad Prihatin Johor telah membuat bancian serta memberikan bantuan makanan berupa beras, biskut, minyak, serta hygine kit kepada 11 buah keluarga di Kampung Baru Sri Gading, Batu Pahat. Kami bertolak dari Mustika Embun pada jam 9.00 pagi dan singgah di Pejabat As-Sakinah yang terletak di Bandar Baru Uda untuk mengambil beberapa lagi kampit beras yang hendak dibawa ke Batu Pahat serta bersarapan pagi di sana. Pada jam 10.00 pagi kami bertolak ke Batu Pahat. Destinasi kami ialah Kampung Baru Sri Gading.

Setelah tiba di kampung tersebut, kami terus menuju ke rumah ketua kampung tersebut iaitu Encik Mohd. Noh. Kami memaklumkan kepada beliau tentang misi kami ke kampung tersebut dan beliau bersetuju untuk membantu kami dalam misi ini. Seramai 6 orang ahli skuad bersama beliau terus pergi ke rumah-rumah orang yang memerlukan bantuan yang rata-ratanya adalah ibu tunggal yang tidak bekerja dan mempunyai ramai anak yang masih belajar. Kami juga menziarahi serta memberikan bantuan kepada seorang wanita yang mempunyai masalah kurang akal yang ditinggalkan berseorangan dirumahnya ketika itu.

Selain itu, kami juga menziarahi seorang warga tua yang bernama Ismail, berumur dalam lingkungan 51 tahun yang tinggal berseorangan di rumah pusakanya yang sudah kelihatan uzur serta kurang sempurna. En. Ismail mempunyai masalah kesihatan iaitu sakit jantung. Beliau pernah berkahwin pada usia 18 tahun tetapi 10 tahun kemudian isterinya meninggal dunia dan mereka tidak mempunyai zuriat. Pada jam 1.30 petang kami kembali ke rumah En. Mohd. Noh dan meninggalkan baki beras dan barang-barang bantuan yang lain dirumahnya untuk diserahkan oleh beliau kepada penduduk-penduduk lain yang memerlukan. Selepas sesi bergambar, kami meminta diri kerana En. Mohd. Noh perlu menghadiri majlis kahwin di kampung tersebut. Kami menuju ke masjid yang berdekatan untuk menunaikan solat Zuhur, kemudian menuju ke Benteng, Batu Pahat untuk menikmati nasi beriani gam.

Selepas makan tengahari, destinasi kami yang seterusnya ialah ke Kampung Sungai Suloh, Batu Pahat untuk menghantar salah seorang ahli skuad pulang ke rumahnya. Selepas itu skuad menuju ke Kampung Sri Gading, Batu Pahat untuk singgah berehat sebentar di rumah Ketua Operasi, Sdr. Azamuddin. Selepas menikmati hidangan bubur asyura dan berehat, skuad menuju ke Air Hitam dan singgah disana sebentar untuk membeli sedikit ole-ole kemudian terus bertolak pulang ke Mustika Embun. Di dalam perjalanan, kami singgah sebentar di R & R untuk menunaikan solat maghrib dan isyak. Skuad tiba di Mustika Embun pada jam 9.30 malam. Ketua Operasi atau wakil skuad akan pergi ke kampung tersebut selepas ini untuk bancian susulan kerana ada beberapa kampit beras yang ditinggalkan di rumah Encik Mohd. Noh, Ketua Kampung Baru Sri Gading, Batu Pahat.

read more