Ads 468x60px

Sabtu, 6 November 2010

Misi Sumbangan: Kampung Parit Haji Ali, Batu Pahat


Pada 31 oktober 2010 bersamaan 23 Zulkaedah 1431 Hijrah, Skuad Prihatin ABIM Negeri Johor telah melaksanakan misi sumbangan di Kg. Prt Hj. Ali Batu Pahat, Johor. Misi yang diketuai oleh Sdra. Muhamad Azamuddin Bin Ahmat Miskam, Ketua Operasi Skuad Prihatin berjaya menarik 15 orang belia yang terdiri daripada mahasiswa UTHM , UiTM dan pelajar Sekolah Menengah sekitar Batu Pahat untuk sama–sama turun padang dalam menjayakan misi kali ini. Turut hadir bersama di dalam misi ini adalah En. Azlan bin Sharif, Exco Majlis Belia Daerah Batu Pahat , Tn. Hj Masran B. Roslan, Setiausaha Kg. Prt Hj. Ali, dan beberapa orang penduduk kampung.

Misi ini merupakan rentetan maklum balas pihak Skuad Prihatin ABIM Negeri Johor terhadap misi cerapan yang telah dilaksanakan pada minggu lepas pada 23 Oktober 2010 yang bertujuan untuk mendapatkan maklumat penerima sumbangan dengan lebih terperinci. Misi ini adalah merupakan siri yang ke 13 bagi tahun 2010.

Aktiviti bermula jam 9.30 pagi dengan sesi taklimat dan perkenalan oleh Sdra. Azamuddin diantara penggerak dan penduduk kampung. Kemudian, penggerak dipecahkan kepada empat bahagian mengikut pecahan zon lokasi tempat tinggal penduduk yang akan diberi bantuan iaitu zon A, B, C dan D. Setiap kumpulan disertai oleh wakil dari Skuad Prihatin Johor dan penduduk kampung.

Terdapat 20 buah keluarga menerima sumbangan daripada Skuad Prihatin ABIM Johor yang terdiri daripada golongan ibu tunggal , fakir miskin, warga emas yang uzur, dan orang kurang upaya (OKU). Sumbangan berupa barangan keperluan dapur seperti beras , minyak masak, gula, tepung, kicap, sos cili, telur dan wang ringgit Malaysia dapat disumbangkan kepada setiap keluarga penerima. Antara lain, pihak Skuad Prihatin juga akan membantu memanjangkan kesulitan yang dihadapi oleh mereka ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atas kapasiti yang layak bagi mendapatkan bantuan yang sewajarnya daripada pihak berwajib untuk mereka meneruskan kehidupan selepas ini .

Alhamdulillah misi berjaya mencapai matlamat dan berakhir sekitar jam 2.00 petang. Harapan Skuad Prihatin agar ramai belia dapat bersama dan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan yang akan datang.

0 comments:

Catat Ulasan