Ads 468x60px

Khamis, 22 September 2011

Kisah Budak Penjual Kuih

Untuk muhasabah kita bersama...
Selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.

"Abang nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.

Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawap saya ringkas. 

Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.

"Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.

"Abang baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.

Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, di meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak beli kuih saya bang, pak cik, kakak atau makcik?"

Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya.

"Abang dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang." katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya. Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.

"Ambil ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," Saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya. Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.

"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.

"Kenapa adik berikan duit abang tadi pada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik!" Kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.

"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar. Saya sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.

"Abang nak beli semua ke?" Dia betanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.

"RM25 saja bang."

Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu. 

Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan. Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!

read more

Khamis, 8 September 2011

Majlis Sambutan Hari Raya 1432H

Jemputan ke Majlis Sambutan Hari Raya 1432H











Kepada YBhg. Datuk/Datin/Tuan/Puan,
penderma dan penerima Kempen Sumbangan Seorang Sekampit Beras ABIM Negeri Johor ke MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA EIDULFITRI 1432H
[Diselitkan pertemuan antara Penderma & Penerima Sekampit Beras 2011]

Didoakan semoga semua berada dalam lindungan dan limpahan rahmat Allah s.w.t. Sukacita dimaklumkan bahawa Skuad Prihatin ABIM Johor dan ABIM Negeri Johor dengan kerjasama Sekolah SRI Johor Bahru, Persatuan Ibubapa dan Guru SRIJB, Seri Tanjung Catering dan Taska Mustika Embun (agensi ABIM Johor) akan mengadakan majlis Sambutan Hari Raya EidulFitri 1432H bertujuan menghimpunkan Penggerak ABIM Johor, staf agensi ABIM, ibubapa SRIJB dan taska serta pelajar-pelajar sekolah SRIJB di mana kami akan bergotong-royong bersama-sama menyediakan juadah pada hari tersebut.

Majlis akan diadakan pada maklumat seperti berikut :-

Tarikh   : Rabu, 28 Sept. 2011 / 30 Syawal 1432H
Tempat : No. 10, Jln Abd. Rahman Andak, Johor Bahru 
               (Padang Sekolah SRIJB)
Masa     : 10.00 pg. – 02.30 ptg.

Jemputan kami adalah terdiri daripada ibubapa SRI dan Taska, pelajar, penggerak ABIM, Wadah, KPIJ, Jabatan-jabatan kerajaan, agensi swasta dan juga penerima serta penderma Kempen Sumbangan Seorang Sekampit Beras 2011. Sehubungan itu, pihak kami sangat berbesar hati untuk menjemput YBhg. Datuk/Datin/Tuan/Puan sekeluaga untuk hadir ke majlis tersebut. Perhatian dan kerjasama yang diberikan oleh YBhg. Datuk/Datin/Tuan/Puan amat kami hargai dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih. Keterangan lanjut sila hubungi Sdra Azamuddin @ Amar mnm (019-4228177) & Pn Nurul Muzaimah (07-2216355).
read more

Jumaat, 2 September 2011

Misi Rahmatan Lil'alamin di Kg. Sri Gading

Sri Gading- Pada hari Ahad 28 Ogos 2011 bersamaan 28 Ramadan 1432H, penggerak Skuad Prihatin ABIM Johor dengan kerjasama penduduk Kg.Sri Gading telah turun padang dalam penyerahan beras dan barang-barang keperluan di kg tersebut. Misi diketuai oleh Sdr. Muhammad Azamuddin bin Ahmat Miskam, Ketua Penggerak Skuad Prihatin ABIM Johor, En. Ahmat Miskam bin Sartam dan En. Azman Bin Hj. Jamil selaku wakil penduduk kampong dan tidak ketinggalan jawatankuasa masjid kampung tersebut.
Misi dimulai dengan bacaan Al-Fatihah dan doa dan seterusnya taklimat ringkas tentang perjalanan program oleh Sdr. Muhammad Azamuddin Ahmat Miskam. Para sukarelawan bergerak menjalankan misi tepat pada pukul 9.30 pagi. Modus Operandi seperti biasa iaitu pemberian sumbangan melalui rumah ke rumah kerana ia lebih jelas untuk memperlihatkan keadaan persekitaran keluarga penerima.
Terdapat 20 orang asnaf yang terdiri daripada ibu tunggal, fakir, miskin dan orang kurang upaya. Mereka menerima sumbangan berupa 10 kg beras, 2 kg gula, 2kg minyak masak, 2 pot susu, 2kg tepung dan biskut. Selain itu, terdapat beberapa kesulitan asnaf-asnaf yang perlu diselesaikan, dipertimbangkan dan dipanjangkan kepada pihak berwajib bagi memudahkan urusan kehidupan mereka. Antaranya ialah, memperbaharui kad pengenalan, memperbaiki tandas dan atap yang sudah uzur, dan masalah persekolahan anak-anak.
Alhamdulillah misi berjaya mencapai matlamat dan berakhir sekitar jam 12.30 tengah hari. Semoga usaha yang kecil ini member manfaat seterusnya memperlhatkan bahawa masyarakat amnya harus bersama-sama sokong dan dukung dalam misi – misi rahmatan lilalamin ini. Sekian, Jazakallah
Laporan oleh : Raibatul Adawiah
read more