Ads 468x60px

Khamis, 27 Ogos 2009

Catatan Ringkas KSSSB 1430H

Assalamualaikum WBTH. Salam Perjuangan Ukhwah Fillah...

Dalam kesibukan harian dengan tugasan pejabat, hari ini ana digegarkan dengan dua pangilan telefon respon pihak yang menerima surat rayuan bantuan Kempen Sumbangan Seorang Sekampit Beras (KSSSB) 1430H. Kedua-duanya datangnya daripada institusi pendidikan. Alhamdulillah, surat-surat yang dihebahkan ke seluruh peringkat mula menemui pemilik alamatnya. Syukur kepada Allah yang mempermudahkan segala urusan.

Namun apa yang ana ingin kongsikan kepada sahabat-sahabat sekalian, salah satu panggilan yang ana terima cukup pedas untuk dinukilkan lantaran pihak berkaitan berasakan ana tidak mengikut prosedur birokrasi yang sepatutnya... Ana menyantuni pandangan insan tersebut namun adakah kerja-kerja amal yang semestinya digerakkan ini harus melalui semua prosedur tersebut.. Bagi pandangan peribadi ana, biarlah orang lain fikirkan persoalan prosedur dan sebagainya. Apa yang penting, kita (ABIM) buat kerja kita berada di gelanggang masyarakat dan ummat untuk terus membantu mereka yang memerlukan dengan segala idea dan kaedah selagi mana tidak melangkaui lunas syarak.Berdasarkan pengalaman-pengalaman yang lepas, nak ikutkan prosedur birokrasi, alamatnya KERJA ENTAH KE MANA... MALAH kita akan terus bertarung dengan pelbagai kerenah-kerenah insan robot ciptaan sistem birokrasi sahaja.

Abu Muhammad (II)


read more

Catatan Ringkas Penggerak KSSSB 1430H

Assalamualaikum WBTH. Salam perjuangan ukhwah fillah….

Pagi tadi sekitar 11 pagi saya didatangi dua beradik saudara baru di Wisma ABIM Johor. Mereka berdua ialah Sdr. Muhsin Abdullah dan Sdr. Adam Abdullah. Kedua-duanya saudara baru yang baru kembali bersama Islam sekitar dua tahun yang lalu. Kehadiran kedua-dua insan yang menerima hidayah petunjuk Allah ini dengan tujuan memohon bantuan untuk urusan pembedahan mata Sdr. Adam Abdullah yang menghidap penyakit glukoma. Mata sebelah kanan beliau telah dilaksanakan pembedahan dan selepas Eidulfitri kelak urusan operasi pembedahan mata kiri beliau pula yang dianggarkan menelan kos perubatan sekitar RM80,000.

Permohonan bantuan juga telah dirujuk ke Baitulmal tetapi sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas.

Ana mewakili grup Skuad Prihatin ABIM Johor memberikan komitmen untuk membantu saudara baru ini.  Segala maklumat berkaitan telah ana dapatkan dan proses seterusnya untuk menziarahi  rumah Sdr. Adam Abdullah di Blok 34-0228, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai  yang dijangka akan ana aturkan pada minggu hadapan. Selain itu juga ana akan merujuk ke Baitulmal untuk membantu kedua-dua sahabat ini mendapatkan respon segera baitulmal. (Maaf gambar mereka tidak dapat ana sertakan kerana kamera tertinggal di Mustika Embun & HP ana pun tertinggal di rumah mertua.)

Sekiranya ada pandangan dan respon harap dapat diemailkan kepada ana segera. Salam Ramadhan...

Abu Muhammad (II)

read more

Rabu, 26 Ogos 2009

Sepintas Lalu...................

KEMPEN SUMBANGAN SEORANG SEKAMPIT BERAS

Kempen Sumbangan Seorang Sekampit Beras telah diilhamkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Johor pada akhir tahun 2005 selepas berlakunya bencana banjir besar yang melanda seluruh negera khususnya di negeri-negeri selatan tanahair. Tanpa sebarang persediaan awal daripada semua pihak pada ketika itu dengan segala kekurangan persediaan dan sumber bantuan asasi segera memberikan pengajaran betapa penting dana umat digerakkan sepanjang masa sebagai persediaan untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan yang tidak dijangka. Kempen awal yang digerakkan oleh ABIM Negeri Johor pada ketika itu berjaya mengumpulkan dana melebihi RM100,000 daripada sumbangan pelbagai pihak dari dalam mahupun luar negara yang telah sedikit sebanyak membantu insan-insan yang diuji dengan bencana tersebut.

Bermula tahun 2006, kempen ini disemarakkan sepanjang bulan Ramadhan dengan matlamat untuk membantu golongan fakir, orang-orang tua serta golongan kurang upaya agar Eidulfitri yang bakal menjelang mampu disambut gembira seperti insan-insan lain. Dengan kerjasama beberapa masjid sekitar Benut dan Kota Tinggi dengan dana terkumpul sekitar RM8,000 seramai kira-kira 100 keluarga telah dapat diberikan bantuan menjelang Eidulfitri 1427H. Pendekatan ziarah dan penyampaian terus sumbangan ke rumah penerima yang dikenalpasti secara tidak langsung lebih mengeratkan silaturahim selain pihak kami lebih mendalami keperitan yang mereka lalui dengan lebih dekat


Sepanjang Ramadhan 1428H, kempen diuruskan dengan lebih profesional dengan pelancaran “Tabung Prihatin” yang mendapat sambutan yang menggalakkan. Dengan dana terkumpul sekitar RM 11,000., seramai 150 orang keluarga dari seluruh negeri Johor termasuk masyarakat Rohingya di sekitar Kulai dan Kota Tinggi turut mendapat manfaat bersama. Sumbangan yang dipelbagaikan dalam bentuk makanan asasi seperti beras, minyak masak, gula serta beberapa keperluan untuk menyambut Eidulfitri sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan ini.


Pada tahun ketiga kempen ini digerakkan, masyarakat lebih responsif untuk terus membantu. Dengan pengurusan diuruskan sepenuh masa, dana yang terkumpul sekitar RM20,000 berjaya dimanfaatkan oleh lebih 200 keluarga dari seluruh negeri Johor.


Pada tahun ini, ABIM akan lebih fokus untuk membantu keluarga pelajar miskin seluruh negeri Johor disamping meneruskan bantuan kepada golongan sasar seperti tahun-tahun sebelumnya. Dianggarkan seramai lebih 1000 keluarga akan mendapat manfaat daripada kempen pada kali ini dengan sasaran jangkaan kutipan dana melebihi RM100,000. Untuk memastikan sasaran ini mampu dicapai, ABIM dengan rasa rendah diri mengalukan bantuan masyarakat Malaysia yang prihatin untuk bersama menjayakan kempen untuk tahun ini. Untuk makluman perkembangan kempen boleh layari http://skuadprihatin.blogspot.com. Semoga bantuan ikhlas semua mendapat keberkatan dan keredhaan Allah.


Ayuhlah kita hulurkan tangan, taburkan bakti....

read more