Ads 468x60px

Selasa, 29 Disember 2009

Induksi Skuad Prihatin



Induksi Pimpinan Skuad Prihatin 2009 adalah program gabungan bersama guru-guru Sekolah Sri yang telah diadakan pada 20 dan 21 Disember yang lalu di Kem Kaizen, Pontian, Johor. Induksi dua hari satu malam ini merupakan satu program yang dianjurkan oleh Skuad Prihatin ABIM Johor . Program ini bertujuan untuk membina perancangan yang strategik antara pimpinan supaya Skuad Prihatin selepas ini lebih tersusun dari segi perjalanan aktiviti tahunannya. Program ini dihadiri daripada wakil ketua-ketua jabatan dalam Skuad Prihatin Johor yang terdiri daripada 11 orang peserta termasuk lelaki dan perempuan.

Sepanjang induksi ini, semua peserta dibahagikan mengikut jabatan masing-masing yang terdiri daripada Jabatan Aktiviti, Jabatan Latihan & amp; Pembangunan, Jabatan Operasi dan Jabatan ICT. Pengisian yang telah dibuat ialah perbincangan antara jabatan, tayangan video dan aktiviti luar iaitu riadah berstruktur serta kembara hutan.

Diharapkan dengan pelbagai idea, maklumat, perkongsian pengalaman serta perancangan, para pimpinan Skuad Prihatin dapat memperkasakan skuad dari segi tarbiyah dan gerakan. Semoga segala perancangan untuk Tahun 2010 dapat dijalankan dengan sebaiknya.

read more

Induksi SP' 09

Gambar-gambar sekitar Induksi SP 2009...

read more

Khamis, 17 Disember 2009

Misi Agenda Setempat : Sukarelawan ke Kuantan, Pahang

Bismillahirrahmanirrahim dan salam Perjuangan...

Pada 11 Disember 2009 yang lalu, Skuad Prihatin telah melakukan tinjauan dan misi bantuan banjir bertempat di Perkampungan Orang Asli Sg. Lembing (Kg. Sg. Mas & Jin), Kuantan, Pahang. Seramai empat orang krew Skuad Prihatin telah turut serta dalam misi bantuan ini iaitu terdiri daripada dua orang SP Johor dan selebihnya adalah SP Pusat.

11 September 2009

7.30 pg : Krew Skuad Prihatin berkumpul di Kompleks Mustika Embun. Persiapan awal melibatkan penyediaan barang sumbangan iaitu 50 kampit beras dan tiga kotak air mineral.

10.00 pg : Skuad Prihatin (SP) diwakili oleh empat orang wirawan bertolak dari Kompleks Mustika Embun, Jalan Abdul Rahman Andak, Johor Bahru.

4.21ptg : Semua wirawan misi telah selamat tiba di Kg. Orang Asli Sg. Lembing. Terus berhubung dengan Tok Batin (Deli Bin Lam).

5.30 ptg : Krew SP menyampaikan bahan bantuan(50 kampit beras dan tiga kotak air mineral) kepada masyarakat orang asli yang terdiri daripada suku kaum jakun dan semoq beri.

7.00 mlm : Semua bersurai dan pulang ke pangkalan. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi semuanya berjalan dengan baik. Walaupun situasi di kawasan tersebut tidak dilanda banjir, namun perkampungan tersebut terjejas dari segi perhubungan kerana struktur kawasan tanah rendah di sekitarnya dilanda banjir. Semoga misi bantuan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan melibatkan keluarga Islam dan bukan Islam di perkampungan tersebut sebagai program susulan, insyaAllah.

Amar M.N.M

read more

Rabu, 9 Disember 2009

Dugaan Menimpa Keluarga Ustaz Ali Ahmad (Wadah ABIM Johor)

Johor Bahru : Tanggal 8 Disember 2009 bersamaan 21 Zulhijjah 1430H perginya seorang lagi ahli keluarga ABIM Johor , Ustazah Hjh. Minah Binti Md. Sani isteri kepada Ustaz Haji Ali Bin Ahmad, mantan pimpinan ABIM Johor. Kembalinya Allahyarhamah ke rahmatullah pada jam 2.30 petang di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Tambah memilukan, 13 hari yang lepas pada 25 November 2009 anak kesayangan Allahyarhamah , Sdri. Adibah Binti Ali (Exco PKPIM Pusat) telah terlibat dalam kemalangan sewaktu pulang daripada Jembori KPIJ di Tanjung Laboh, Batu Pahat yang telah mengakibatkan kini beliau terlantar di rumah dan tidak mampu untuk berdikari sendiri.




Atas dasar ehsan sesama insan serta ukhwah sesama jemaah, ABIM Negeri Johor menggerakkan DANA PRIHATIN untuk membantu meringankan beban Ustaz Haji Ali Bin Ahmad sekeluarga. Untuk sebarang sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad : 01014010045659 atas nama Tabung Prihatin atau terus menghubungi Sekretariat ABIM Negeri Johor : 07-2216355 / 019-7718648. Semoga segala sumbangan dan keprihatinan kita semua dirahmati Allah.

Amar M.N.M
read more

Khamis, 3 Disember 2009

Dana Prihatin

Bismillahirrahmanirrahim dan salam perjuangan...


ABIM Johor melalui Skuad Prihatin ABIM Johor akan menggerakkan dana prihatin bagi membantu Sdri. Adibah Ali (Exco PKPIM Pusat anak Ust Ali Ahmad, WADAH Johor) yang terlibat dalam kemalangan sewaktu pulang daripada Jambori KPIJ di Tanjung Labuh 25hb November 2009 jam 5.30pm

Info berkaitan kutipan tersebut akan diupload di
1. http://abimjohor.blogspot.com
2. http://skuadprihatin.blogspot.com dan
3. http://alumni-pkputm.blogspot.com

Pihak ABIM Johor mengalu-alukan sumbangan semua pengunjung Skuad Prihatin bagi meringankan beban beliau sekeluarga...

Info : Kaki kanan beliau patah teruk sehingga ke pinggul. Keretanya hancur dan tidak dapat dibaiki lagi...

Hari ini hari beliau, kita belum pasti bila kita pula kita akan diuji.
Salam perjuangan ukhwah fillah...

Abu Muhammad (II)
read more

Selasa, 1 Disember 2009

Kami Terhina


Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Disebabkan kedaifan hidup, sepasang suami isteri mualaf yang mempunyai 12 anak terpaksa bergantung pada sumber air parit dicemari sisa baja dan bangkai untuk kegunaan seharian, termasuk membancuh susu bayi mereka yang baru berusia sebulan.

Akibatnya, 14 beranak itu kini digelar ‘keluarga jijik’ oleh segelintir penduduk di sekitar penempatan setinggan Kampung Sungai Plentong di sini, semata-mata kerana mereka sanggup menggunakan sumber air kotor untuk kegunaan harian sejak lebih 16 tahun lalu.

Ketua keluarga berkenaan, Mohamad Jeeva Abdullah, 43, berkata meskipun menyedari penggunaan air parit boleh memudaratkan kesihatan dirinya dan anak-anak, keluarganya tidak mempunyai pilihan kerana tidak berkemampuan mendapatkan bekalan air bersih dari luar.

Menurutnya, penduduk lain berkeupayaan mendapatkan air bersih bagi kegunaan seharian biarpun kampung berkenaan tidak disalurkan bekalan air bersih oleh pihak berkuasa, sedangkan keluarganya bergantung pada air parit berhampiran termasuk untuk mandi, mencuci pakaian, memasak serta minuman.

“Kami digelar keluarga jijik oleh penduduk kampung dengan alasan kami minum air kotor dan berbau busuk. Namun, bagi saya dan isteri, Salmah Abdullah, 40, serta anak-anak, kami lali dengan keadaan ini kerana hanya air parit dan air hujan saja boleh diperoleh secara percuma.

“Sebelum ini kami menggunakan air perigi, tetapi kini airnya berkeladak dan mengeluarkan bau busuk sehingga tidak boleh digunakan.

“Kebiasaannya kami akan memasak dulu air diambil dari parit kerana warnanya agak keruh dan kadangkala tercemar sehingga mengakibatkan anak-anak mudah mengalami alahan selain demam dan cirit-birit.

“Apa yang mengecewakan, biarpun rata-rata penduduk di perkampungan setinggan ini menyedari keluarga saya bergantung pada bekalan air berkenaan, mereka sanggup membuang sisa baja mahupun bangkai haiwan ke dalam parit,” katanya.

Mohamad Jeeva memeluk Islam sembilan tahun lalu manakala hati Salmah terbuka untuk menerima agama Islam pada Oktober lalu.

Menyingkap sejarah hidupnya memeluk Islam, Jeeva berkata, dia ingin mencari kebenaran dan petunjuk dalam hidupnya.

Menurutnya, dia dan isterinya tabah menghadapi pelbagai dugaan termasuk bagi menyara kehidupan 12 cahaya mata termasuk anak ketiga mengalami masalah lembam.

“Isteri saya juga terpaksa membanting tulang bagi menambah pendapatan keluarga dengan menjadi buruh kontrak mengecat bangunan biarpun dia masih dalam pantang kerana pendapatan bersih saya RM200 yang diperoleh hasil bekerja sebagai buruh ladang tidak mencukupi.

“Manakala bantuan sara hidup daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM400 sebulan hanya mampu menampung perbelanjaan dapur selain persekolahan anak,” katanya ketika menerima kunjungan Pergerakan Pemuda Umno bahagian Pasir Gudang, kelmarin.

Hadir menghulurkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada keluarga itu, Bendahari Umno bahagian Pasir Gudang, Rosli Mohamad dan Pengerusi Biro Kebajikan Pemuda bahagian itu, Mohd Khalimi Mohd Lia Khad Ali.

Pasangan berkenaan dikurniakan tujuh anak perempuan dan lima lelaki termasuk Raju, 16, Shalini, 11, Sarla, 11, Sakti, 9, Visali, 9, Tavita, 8, Roja, 7, Deevankumar, 6, Uganindran, 4, Priya, 2, Selvakumar, berusia setahun dan Arvind, bayi berusia sebulan.

Akibat kesempitan hidup, Jeeva berkata, dua daripada cahaya matanya terpaksa menumpang di kediaman saudara-mara bagi memudahkan mereka ke sekolah memandangkan dia tidak dapat menghantar mereka kerana tidak berkemampuan memperbaharui cukai jalan dan insurans motosikalnya.

“Sudah lebih empat tahun saya dan isteri tidak membelikan baju baru pada anak dan mereka masih memakai baju terpakai yang disumbangkan kenalan mahupun baju kakak dan abang mereka,” katanya.

Sementara itu, Salmah berkata, dia yang memeluk Islam sehari sebelum melahirkan anak bongsunya juga berhajat mengislamkan semua anaknya dengan secepat mungkin.

Bagaimanapun, katanya dia sekeluarga menghadapi kesulitan hendak ke pejabat agama di pusat bandar raya bagi menyelesaikan urusan kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk tambang pengangkutan awam ke sana.

“Saya boleh mengucap kalimah syahadah dan begitu juga dengan anak-anak yang tidak sabar menjalani kehidupan sebagai umat Islam.

“Kami berharap pihak berkuasa menyediakan bimbingan dan panduan agama selain sayangi kami sebagai saudara Islam.

“Kami berharap mampu menjalani kehidupan yang lebih bermakna pada tahun depan di mana anak-anak turut menunjukkan minat bagi mengikuti kelas Fardu Ain secepat mungkin,” katanya sambil menunjukkan sijil perakuan Islamnya yang dikeluarkan pihak berkuasa agama Islam negeri.


read more