Ads 468x60px

Ahad, 20 Jun 2010

Kursus Latihan Sukarelawan Ziarah Pesakit Hospital

19 Jun 2010 Sabtu - Islamic Outreach ABIM telah menganjurkan sebuah program yang mengenengahkan Kursus Latihan Sukarelawan Ziarah Pesakit Hospital di Masjid Asy-Syakirin KLCC, Kuala Lumpur yang diadakan selama sehari. Kursus ini diadakan bertujuan untuk memperkukuh dan meningkatkan kualiti sukarelawan sedia ada serta mempersiap setiap sukarelawan ini sebagai aset utama dalam konteks kegiatan yang melibatkan kebajikan masyarakat khususnya pesakit di hospital. Kursus ini juga dirangka khas bagi mewujudkan kerjasama antara agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan dan Badan-badan Amal dalam membantu masyarakat seperti pesakit di Hospital. Sehubungan dengan itu, Sekretariat Skuad Prihatin Johor (SP) telah menghantar seramai dua orang wakil iaitu Mohd Nurishaq Bin Mohd Fauzi dan Mohd Farid Izwan bin Ahmaddun bagi mewakili Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Johor sebagai peserta. Seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi dan persatuan telah mengambil bahagian di dalam kursus ini dan kursus ini telah dirasmikan oleh Saudara Mohamad Razak Bin Idris selaku Presiden ABIM.

Kursus Latihan Sukarelawan Ziarah Hospital ini mengandungi dua slot ceramah pada sesi pagi dan dua slot ceramah pada sesi petang yang disampaikan secara bilateral dan interaktif. Slot yang pertama bertajuk “Panduan Ibadah Kepada Pesakit” disampaikan oleh ustaz Ismat Nazirin Bin Mat Isa pegawai di Hospital Pakar Al-Islam, Kg baru, Kuala Lumpur. Slot ini mengutarakan betapa pentingnya solat dan bagaimana kaedah sebenar untuk memudahkan pesakit menyempurnakan solat secara rukhsah serta bagaimana kaedah tayammum bagi pesakit. Hal ini bertujuan untuk membuka mata masyarakat betapa berhikmahnya solat ketika sakit, serta menerbitkan rasa syukur ke hadrat allah swt. Beliau juga menjelaskan secara terperinci mengenai rukhsah solat (rujuk Al-Baqarah:185) dan tayammum (rujuk Annisa’:43 | Al-Maidah: 6 ) dalam konteks pesakit.

Slot Kedua bertajuk “Aktiviti Sukarelawan Ziarah Pesakit di Hospital: Etika, Cabaran dan Harapan” disampaikan oleh Encik Mohaidin Bin Bahado daripada Jabatan kerja Sosial Perubatan Hospital Ampang. Beliau membuka tirai ceramah dengan membawa sepotong ayat suci daripada AlQuran tentang mengapa kita perlu berbuat kebajikan melalui surah Al-maidah ayat 2. Beliau mengutarakan soal etika seorang sukarelawan terhadap pesakit dan peraturan di hospital serta bentuk-bentuk cabaran yang sedang, sentiasa dan akan dihadapi oleh golongan sukarelawan berdasarkan perkongsian pengalaman yang sangat berharga. Sukarelawan perlu bersama membantu pesakit mengenali diri mereka, membaik pulih dalam konteks emosi dan spiritual sebaiknya. Beliau mengakhiri ceramah dengan membawakan bait kata; ”Jika insan diasuh dengan pengalaman, mereka belajar erti hakikat sebuah kehidupan. Jika insan dididik dengan taqwa, mereka belajar erti menghayati agama”.

Slot ketiga berkisar tentang tanggungjawab masyarakat kepada pesakit. Slot ini yang bertajuk “Ziarah Pesakit Hospital: Tanggungjawab Masyarakat kepada Pesakit” disampaikan oleh Puan Normah Binti Sani daripada Jabatan Kerja Sosial Hospital Kuala Lumpur. Beliau mendedahkan kepada peserta tentang beberapa contoh individu sukarelawan yang secara aktifnya mengambil inisiatif membantu kerja-kerja sosial di hospital yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia. Semangat dan kesedaran yang timbul dalam diri individu seperti ini menggerakkan mereka untuk menyumbangkan tenaga kerja seperti membantu membasuh baju-baju pesakit, menjahit pakaian untuk pesakit dan kanak-kanak pesakit di wad paediatrik secara sukarela.

Slot keempat yang bertajuk “Aktiviti Ziarah Hospital Daripada Perspektif Islam” disampaikan oleh Ustaz Amir Muktaqim berkisar mengenai penelitian aktiviti sukarelawan terhadap pesakit hospital melalui pandang sisi agama islam. Beliau berkongsi pengalaman peribadi yang sangat bernilai selama 7 tahun berkecimpung dalam pengurusan jenazah secara sukarela. Beliau mengutarakan lima tuntutan ataupun kewajipan yang perlu dilaksanakan sebagai umat islam antaranya ialah mengunjungi orang sakit dan mengiringi jenazah. Beliau juga mengingatkan kepada sukarelawan tentang lima cara mencari kecemerlangan yang antaranya ialah mengenai niat. Tetapkan niat yang benar dan ikhlas semata-mata mencari keredhaan Allah swt khususnya dalam melakukan aktiviti-aktiviti sukarela, sosial dan kemasyarakatan.

Sesi Rumusan yang disampaikan oleh Haji Azril Bin Mohd Amin, Pengerusi Islamic outreach ABIM mengakhiri program kursus Latihan Sukarelawan Ziarah Pesakit Hospital. Beliau menegaskan tentang betapa berharganya peluang yang perlu diambil oleh masyarakat untuk turut serta menabur bakti terhadap pesakit di hospital, serta melahirkan harapan agar lebih ramai lagi belia yang turut bersama merealisasikan kerja sosial kemasyarakatan ini. Kursus ditutup rasmi oleh Haji Azril Bin Mohd Amin, Pengerusi Islamic Outreach ABIM.

0 comments:

Catat Ulasan