Ads 468x60px

Khamis, 28 Januari 2010

69 Gempa Kecil

Setiap kali berlaku gempa bumi termasuk yang mengakibatkan tsunami, Malaysia pasti merasainya gegarannya, bahkan ketika tsunami melanda 2004, utara Semenanjung iaitu Langkawi, Kuala Muda, Kedah dan Pulau Pinang turut terkena musibah dilanda ombak besar.

Sekali pun Malaysia dikatakan masih selamat kerana berada di luar 'Lingkaran Api Pasifik', sebenarnya masih berlaku gempa bumi di negara ini tetapi dikategorikan sebagai lemah dan sederhana tidak mengakibatkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa.

Hakikatnya, berdasarkan rekod dari 2000 hingga Mei 2009, sebanyak 69 kali gempa bumi dilaporkan berlaku di Malaysia iaitu masing-masing 31 kali di Semenanjung dan Sabah, manakala tujuh lagi di Sarawak.

Bagi kes gempa bumi di luar Malaysia dan gegarannya dirasai di sini ialah sebanyak 35 kes iaitu 31 kali di Semenanjung dan empat kali di Sabah. Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) berpendapat, secara relatifnya, Semenanjung adalah stabil dari segi seismotektonik.


Timbalan Ketua Pengarah (Aplikasi), JMM, Alui Bahari, berkata gegaran gempa bumi yang dirasai di negeri pantai barat Semenanjung berpunca daripada gempa bumi bermagnitud besar yang berpusat sama ada di barat Sumatera atau Laut Andaman.

“Semenanjung dikategorikan sebagai berisiko gempa bumi rendah. Kes gempa bumi di Bukit Tinggi, Pahang (tempoh 30 November 2007 hingga Mei 2008) boleh disifatkan sebagai kes terpencil.

“Keadaan agak berisiko di Sarawak dan Sabah kerana kedua-duanya termasuk dalam kawasan berisiko gempa bumi sederhana. Di Sarawak, kekerapannya ialah sekali bagi setiap 6 hingga 7 tahun tetapi di Sabah, ia berlaku sekali dalam setahun.

“Ini kerana ada beberapa garis sesar yang aktif di Sabah, antaranya ialah Garis Sesar Mensaban, Garis Sesar Crocker, Garis Sesar Tabin dan Garis Sesar Lobou Lobou,” katanya.

Bagi siri gempa kecil yang pernah berlaku di Bukit Tinggi, ia dipercayai kesan susulan daripada gempa bumi kuat yang berlaku pada 26 Disember 2004 yang menghasilkan bencana tsunami rentas sempadan.

Garis sesar yang terdapat di Bukit Tinggi sebelum ini dikategorikan sebagai garis sesar tidak aktif. Sehubungan itu, hanya gempa bumi bermagnitud kecil saja berpotensi berlaku di garisan sesar ini. Ia dipengaruhi oleh tekanan tektonik hasil pergerakan kerak bumi menyebabkan berlakunya pengumpulan tenaga.

“Apabila sampai ke tahap tertentu, tenaga itu dilepaskan sebagai gempa bumi kecil, tetapi gegarannya hanya dirasai di sekitar pusat gempa itu,” katanya.

Mengenai ramalan dan kajian risiko gempa bumi, Alui berkata, sehingga kini, saintis tidak dapat meramalkan waktu dan lokasi kejadian termasuk kekuatan gempa bumi.


Setakat ini, tiada isyarat awal untuk menjangkakan akan berlaku gempa kerana fenomena gempa semula jadi berlaku dengan kekuatan berbeza-beza di kawasan garis sesar aktif.

“Sesetengah gempa bumi terutama bermagnitud kecil tidak dirasai manusia, cuma dapat dikesan oleh sensor seismik. Bagi gempa bumi kuat, ia boleh mengakibatkan kerosakan teruk dan jika berlaku di dasar laut ia boleh menghasilkan tsunami,” katanya.


Adakah Malaysia juga akan megalami peristiwa seperti di Aceh dan Haiti? Trauma Tsunami masih membelenggu masyarakat di seluruh dunia, kini digemparkan pula dengan peristiwa di Haiti yang mengorbankan berpuluh-puluh ribu rakyatnya. Walaupun negara kita masih dikatakan selamat kerana berada di luar Lingkaran Api Pasifik, kita juga harus sentiasa berwaspada dan beringat bahawa peristiwa seperti ini juga boleh terjadi di mana-mana sahaja. Janganlah kita terlalu leka serta lalai dengan urusan-urusan seharian kita tanpa mempedulikan apa yang berlaku disekeliling kita dan ingatlah bahawa Allah s.w.t telah berfirman:

Ertinya: “Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); “Apakah yang sudah berlaku kepada bumi?” Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya: Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”

(Surah az-Zalzalah:1-8)



0 comments:

Catat Ulasan