Ads 468x60px

Khamis, 21 Januari 2010

Gempa di Haiti : Bekalan Belum Mencukupi

PORT-AU-PRINCE 20 Jan. - Seminggu selepas gempa bumi meranapkan ibu negara Haiti, masyarakat antarabangsa masih belum dapat menyalurkan bekalan makanan dan air yang cukup kepada mangsa yang kebuluran dan kehausan.

Lapangan terbang di sini terus mengalami kesesakan teruk, pelabuhan belum dapat berfungsi, kerajaan Haiti tidak kelihatan memainkan peranannya, tidak ada pihak yang bertanggungjawab mengetuai operasi bantuan, dan polis sudah hampir berputus asa untuk mengawal keselamatan.

Ketika askar Amerika Syarikat (AS) mendarat dengan helikopter Seahawk di pekarangan Istana Negara semalam, usaha besar-besaran untuk membantu Haiti ternyata masih tidak memadai disebabkan kedahsyatan malapetaka itu dan batas keupayaan kerajaan-kerajaan di dunia. Jangkaan mengatasi apa yang sebenarnya dapat dicapai setakat ini dengan wang, kemahuan dan kekuatan ketenteraan sewaktu berdepan dengan kesan bencana yang sukar dibayangkan. Pasukan penyelamat terus beroperasi, sekalipun masa semakin suntuk bagi mangsa yang masih tertimbus dalam runtuhan.

Sebuah pasukan penyelamat Mexico yang ditubuhkan selepas gempa bumi di negara itu pada 1985 menyelamatkan Ena Zizi, 69, seminggu selepas wanita itu terperangkap di bawah runtuhan kediaman ketua biskop Roman Katholik Haiti. Mayat ketua biskop tersebut, Monsignor Joseph Serge Miot ditemui semalam dalam keadaan duduk di kerusi di dalam pejabatnya.

"Kami memerlukan begitu banyak bantuan. Makanan, pakaian dan segala-galanya. Saya tidak tahu siapa yang bertanggungjawab tetapi mereka perlu menghulurkan bantuan secepat mungkin," kata ibu kepada dua orang anak, Sophia Eltime, 29, yang mendakwa dia tidak makan sejak semalam.

Bukan sahaja rakyat Haiti yang bertanya mengapa bantuan begitu lambat sampai kepada mangsa satu daripada gempa bumi terburuk dalam sejarah: kira-kira 200,000 maut, 250,000 lagi cedera dan 1.5 juta hilang tempat tinggal. Pegawai di Perancis dan Brazil serta pertubuhan bantuan seperti Doktor Tanpa Sempadan merungut mengenai pelbagai halangan, keutamaan yang tidak betul dan ketiadaan kepimpinan dan penyelarasan.

"Puluhan ribu mangsa gempa bumi memerlukan pembedahan kecemasan sekarang!..." menurut siaran berita daripada Partners in Health, yang diasaskan bersama oleh timbalan duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Haiti, Dr. Paul Farmer. "Pengarah perubatan kami menganggarkan 20,000 mangsa meninggal dunia setiap hari sedangkan mereka boleh diselamatkan menerusi pembedahan," katanya. - AP

1 comments:

Nur Izz Qatrunnada berkata...

INFO: Kategori gempa bumi (ukuran skala Richter)


Lemah: Kurang 5.0 skala Richter
Sederhana: 5 hingga 5.9 skala Richter
Kuat: Lebih 6.0 Skala Richter

Catat Ulasan