Ads 468x60px

Khamis, 15 April 2010

MISI ZIARAH KE-3: KEMBARA BELIA KE PESISIR PANTAI MINYAK BEKU,BATU PAHAT

Pada 4 April 2010 yang lalu, Biro Prihatin ABIM Batu Pahat dan Skuad Prihatin Johor telah menjalankan misi ziarah yang ketiga iaitu kembara belia ke Pesisir Pantai Minyak Beku, Batu Pahat. Misi ini adalah kesinambungan dari misi ziarah Biro Prihatin ABIM BP yang pertama yang telah dijalankan pada 17 Januari 2010 yang lalu. Objektif utama ziarah ini ialah untuk memantau perkembangan pesisiran pantai selepas ziarah pertama dijalankan.
Pada ziarah pertama, Biro Prihatin ABIM BP telah membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar berkenaan pencemaran yang telah melanda pesisiran pantai dan juga berkaitan pembuangan najis babi ke pantai tersebut. Misi ini telah disertai oleh 15 orang peserta termasuk seorang pensyarah dari Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dari Jabatan Kejuruteraan Awam (Bahagian Alam Sekitar), Encik Mohd. Baharudin Bin Ridzuan serta seorang wartawan Akhbar Kosmo, Cik Azma Razana Binti Johari.

Setelah bersarapan pagi, satu sesi taaruf dan taklimat ringkas telah diadakan pada jam 9.15 pagi. Taklimat disampaikan oleh saudara Mohd. Azlan, Ketua Biro Prihatin ABIM Batu Pahat. Selepas itu skuad bergerak menuju ke pantai dan menaiki bot yang telah sedia menanti di tepi pantai.
Skuad telah dibawa melawat ke Pulau Sialu iaitu sebuah pulau yang menjadi penempatan awal bagi penduduk Kampung Segenting, Minyak Beku sejak 500 tahun lalu sebelum berpindah ke penempatan sekarang. Di pulau tersebut masih terdapat kesan-kesan penempatan seperti tangga surau yang pernah di bina di pulau tersebut.
Encik Amran, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung Telok Minyak Beku menerangkan bahawa pulau tersebut telah menempatkan seramai 300 orang penduduk sebelum ini kemudian penduduk-penduduk tersebut dipindahkan ke darat iaitu penempatan sekarang. Skuad melawati sekitar pulau tersebut dan mendapati terdapat banyak sampah yang hanyut dari pantai telah berkumpul di pulau tersebut. Skuad juga berpeluang melihat perigi yang seing digunakan oleh penduduk pulau dan menaiki rumah api di pulau tersebut.




Skuad kemudian memudiki ke muara Sungai Batu Pahat dan ke Pelabuhan Batu Pahat.



Pelabuhan tersebut menjalankan aktiviti eksport batu kerikil dan kuari. Sepanjang perjalanan, satu bau yang kurang menyenangkan telah menusuk ke hidung semua peserta. Bau tersebut merupakan bau najis babi yang telah dialirkan ke Pantai Minyak Beku.



Secara tak langsung, aktiviti eksport dan pembuangan najis babi tersebut telah menjejaskan habitat haiwan yang tinggal di dasar pantai kerana kekurangan oksigen serta habitatnya diganggu oleh aktiviti manusia. Ini juga menjejaskan pendapatan nelayan-nelayan yang terdiri dari penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan kerana ikan-ikan telah berpindah ke tempat lain. Kelihatan juga sampah terapung-apung di permukaan air di sekitar pelabuhan tersebut.

Skuad menikmati makanan tengahari di sebuah gerai yang terdapat di tepi pantai pada jam 1.00 petang. Setelah makan tengahari, satu sidang media bersama wartawan Akhbar Kosmo diadakan. Kehadiran wartawan ini adalah untuk membantu skuad menyiarkan dan menyampaikan kepada masyarakat mengenai apa yang telah berlaku di sekitar pesisiran pantai tersebut agar dapat menyedarkan masyarakat tentang kepentingan alam sekitar serta lebih peka terhadap isu tersebut.

Selepas selesai sidang media, skuad kemudian bergerak ke Kampung Telok Minyak Beku. Skuad meninjau dan bermesra dengan orang-orang asli yang merupakan warga kampung tersebut. Kemudian skuad terus menuju ke Kampung Sungai Banang bagi meninjau lokasi penempatan baru orang asal dan menyelusuri permasalahan yang dihadapi para penduduk yang bakal berpindah ke tempat tersebut. Antara permasalah yang diutarakan ialah isu kandang babi, pencemaran sungai berhampiran, dan pencemaran berpunca dari kawasan perlombongan berhampiran.



Setelah mendengar masalah yang diutarakan, skuad telah meninjau lokasi kandang khinzir Swee Huat Farm yang terletak berhampiran penempatan semula dan mendapatkan bukti sahih berkenaan permasalahan kewujudan kandang khinzir di kawasan berkenaan. Saudara Azlan menyatakan bahawa beliau akan membuat surat aduan berkenaan permasalahan yang melibatkan kandang khinzir kepada jabatan Veterinar Batu Pahat.
Beliau juga akan membuat aduan dan membawa isu permasalah penduduk setempat kepada Pegawai Daerah Batu Pahat, (District Officer Batu Pahat) dan membuat pemerhatian semula, (Follow Up) dengan Jabatan Alam Sekitar Batu Pahat, JAS.



Diharapkan agar semua masyarakat lebih peka terhadap isu alam sekitar kerana bukan kita sahaja yang ingin melihat hijaunya pepohon di sekitar dan birunya air laut, generasi akan datang juga perlu menikmati keindahan yang telah diciptakan oleh Allah s.w.t ini. Selain itu, alam sekitar juga mempengaruhi kesihatan kita. Kita perlulah menghargai alam sekitar ini sebaiknya kerana sudah terlalu banyak penyakit yang telah menular dan menyerang masyarakat masakini. Jika bukan kita, siapa lagi. Jika tidak sekarang, bila lagi.



By: LD AKTIVITI

0 comments:

Catat Ulasan