Ads 468x60px

Isnin, 29 Mac 2010

UTAMAKAN KEBAJIKAN ANAK SELEPAS BERPISAH

Ibu bapa bercerai wajar patuhi perintah mahkamah berkaitan hak penjagaan, lawatan
KISAH perebutan hak penjagaan anak selalu menjadi isu besar antara pasangan yang bercerai. Apabila ibu diberikan hak jagaan ke atas anak, selalunya ayah mendapat hak lawatan. Begitulah sebaliknya.

Dalam amalan di mahkamah sama ada mahkamah syariah atau mahkamah biasa, apabila berlaku perceraian antara pasangan yang mempunyai anak, perkara besar yang diselesaikan adalah siapa mendapat hak jagaan ke atas anak-anak dan bagaimana urusan nafkah mereka selepas ini. Ada pasangan yang bercerai berjaya menyelesaikan dengan baik urusan jagaan anak-anak. Namun ada juga yang mengambil pendekatan keras, berebut, memburukkan pasangan di depan anak-anak, bergaduh dan ada yang melarikan anak-anak walaupun selepas diputuskan oleh mahkamah siapa berhak ke atas jagaan itu.

Ia sangat menyedihkan seolah-olah anak adalah barang yang tidak bernyawa dan tidak mempunyai perasaan. Sebenarnya dalam perebutan hak ke atas anak-anak, sama ada kita sedar atau tidak, anak-anak menjadi mangsa yang penuh konflik dalam jiwa mereka. Antara kasih kepada ayah dan kasih kepada ibu.

Walaupun salah seorang ibu bapa menang dalam pertikaian merebut hak jagaan, sebenarnya anak-anak terbabit menjadi mangsa dan kehilangan keindahan hidup seperti yang mereka gambarkan di bawah bumbung rumah tangga bahagia.

Kebajikan anak adalah faktor terpenting dan diiktiraf oleh semua mahkamah membabitkan urusan perceraian. Seksyen 86(2) Akta Undang-undang Keluarga Wilayah Persekutuan contohnya menyatakan, ‘untuk memutuskan dalam jagaan siapakah seseorang kanak-kanak patut diletakkan, pertimbangan yang utama ialah kebajikan kanak-kanak itu tertakluk kepada pertimbangan berkenaan, mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada kemahuan ibu bapa kanak-kanak dan kemahuan kanak-kanak itu jika dia sudah meningkat umur dapat menyatakan sesuatu pendapatnya sendiri’.
Apabila pada pendapat mahkamah kebajikan anak akan lebih terjaga apabila berada bersama ibu, maka mahkamah akan memutuskan sedemikian. Namun jika anak sudah mencapai tahap umur mampu memberitahu isi hatinya dengan baik dengan siapa dia ingin tinggal, mahkamah akan meneliti perkara ini sebelum memutuskan siapakah yang mendapat hak jagaan itu.

Bukan hak siapa yang sepatutnya menjadi taruhan tetapi kebajikan anak adalah paling penting untuk diperhatikan. Kita seharusnya meletakkan kepercayaan dan mematuhi keputusan mahkamah sama ada keputusan Mahkamah Syariah bagi ibu bapa Muslim atau keputusan mahkamah biasa bagi yang bukan Muslim. Keputusan mahkamah sewajarnya diikuti kerana ia adalah pemutus kepada sebarang pertikaian.


Kes melarikan anak daripada tangan pihak yang mendapat hak jagaan juga bukan perkara baru dalam masyarakat kita. Ibu bapa yang bertikai seharusnya cuba menilai kebajikan anak mereka dan kesan negatif perebutan yang berlaku.

Dalam satu kajian di California oleh pakar psikologi, Judith Wallerstein selama 25 tahun terhadap 131 kanak-kanak yang menjadi mangsa cerai mendapati anak-anak ini mengalami tekanan jiwa yang hebat. Daripada 131 kanak-kanak yang diikuti sehingga mereka menjadi dewasa, sebilangan besar terbabit dengan arak, dadah, melakukan zina/seks bebas di awal usia kerana tekanan dialami.

Separuh daripadanya membesar dengan jiwa bermasalah dan berakhir dengan melakukan keganasan rumah tangga, bercerai dengan pasangan dan tidak mempunyai hala tuju hidup yang baik. Kesimpulan kajian itu, beliau mendapati kanak-kanak ini menghadapi masalah komunikasi dan berakhir dengan mereka sendiri melakukan pusingan sama, iaitu tidak bahagia dalam perkahwinan dan melalui hidup bercerai yang hampir sama dengan apa dilalui oleh ibu bapa mereka.

Bayangkanlah bagi anak-anak yang menjadi mangsa perebutan, dilarikan kerana perebutan hak jagaan yang tidak berkesudahan. Sudahlah ibu bapa bercerai, perebutan seolah-olah mereka adalah barang dagangan akan menyebabkan kesan dalam jiwa yang lebih besar kepada anak-anak.

Akhbar di Australia pada 24 Februari lalu, menyiarkan satu berita menggemparkan mengenai perebutan anak antara pasangan selepas cerai. Seorang ibu disabitkan hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah di Brisbane kerana membunuh anak mereka berumur enam tahun dan 10 tahun.

Ini berikutan Mahkamah Keluarga mengeluarkan perintah bahawa anak-anak diberikan hak lawatan menyambut hari Krismas bersama ayah mereka. Tidak dapat menerima keputusan itu dan sebagai membalas dendam kepada bekas suami, si ibu mengambil tindakan nekad membunuh anak-anak mereka.

Kisah pembunuhan pada November 2002 itu menjadi tajuk hangat sehingga hakim kes terbabit menyebut: “Perbalahan hak jagaan ke atas anak tidak boleh menjadi alasan untuk mengambil dua nyawa yang masih muda. Tidak ada sebarang alasan untuk membenarkan sebarang serangan ke atas kanak-kanak, apatah lagi membunuh mereka.”

Berkaitan dengan melarikan anak daripada penjaga yang sah, mahkamah di Australia sekarang sudah menukar pendekatan apabila membenarkan gambar anak-anak yang dilarikan daripada ibu atau bapa yang diberikan hak jagaan disiarkan di dada akhbar dan laman web mahkamah.

Akhbar The Sunday Herald Sun pada 14 Mac lalu membuat laporan khusus mengenai kes sebegini menyatakan bahawa, ia adalah keputusan baru sebagai langkah terakhir mencari anak yang dilarikan terutama selepas berlaku perceraian. Alasan diberikan oleh pihak mahkamah dan juga polis adalah demi menjaga kebajikan anak.

Apakah pendekatan itu boleh dibawa ke Malaysia? Islam mengiktiraf bahawa hubungan perkahwinan yang tidak dapat diselamatkan boleh diakhiri dengan perceraian. Walaupun ia tidak disukai Allah tetapi tetap dibenarkan dalam situasi tertentu.

Apa yang penting adalah perceraian di antara ibu bapa janganlah menjadi alasan untuk menghancurkan jiwa anak-anak. Alangkah baik sekiranya hubungan ibu bapa berakhir tetapi anak-anak tetap merasai kasih sayang yang sama kerana urusan hak jagaan dan nafkah mereka diputuskan dengan baik di antara ibu dan bapa mereka.

Sekiranya ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, seharusnya jalan pintas bukan melarikan anak tetapi menggunakan saluran mahkamah juga untuk mendapat penghakiman yang lain.

-AMAR M.N.M-

0 comments:

Catat Ulasan