Ads 468x60px

Isnin, 29 Mac 2010

Ini yang harus dilakukan oleh mahasiswa (Ambil peduli keadaan sekeliling) -Konteks Masyarakat-

SIKAP peduli adalah sikap ambil tahu dan peka terhadap sesuatu yang berlaku serta memberi tindak balas terhadap hal-hal yang berlaku di sekeliling kita. Rasa peduli adalah elemen yang sangat penting dalam kehidupan kerana ia mengajar kita untuk hidup bermasyarakat.

Mengambil tahu masalah secara positif menggalakkan remaja menjadi seseorang yang prihatin terhadap keperluan dan masalah orang lain, berusaha untuk bantu-membantu dalam menyelesaikan masalah, serta mendidik remaja supaya dapat merenung hikmah dan pengajaran di sebalik sesuatu kejadian.

Hikmah rasa peduli

Rasa peduli sememangnya amat penting diamalkan oleh remaja dalam hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Ia bermula dengan isteri atau suami dan anak-anak, anggota keluarga dan akhirnya kepada masyarakat.

Bayangkan sekiranya remaja berada di tempat kerja, rasa peduli amat dituntut. Sebagai pekerja kita berada dalam suatu suasana muafakat, kerjasama dan saling berinteraksi.

Apabila ada orang yang miskin dan susah memerlukan bantuan, rasa peduli akan menerbitkan perasaan untuk membantu sedaya mampu.

Apabila mendengar kesakitan orang lain terhadap kesempitan yang dihadapi, rasa peduli akan mendorong remaja turut sama merasai atau berkongsi keperitan yang dialami.

Ada orang yang zaman kanak-kanak dan remajanya tidak seindah seperti golongan seusianya. Ada yang hidup mewah dan keperluan zahir dijaga, tetapi keperluan kasih sayang tidak dipenuhi.

Ada yang hidup miskin dan tidak berkemampuan, tetapi dilimpahi dengan didikan agama dan kasih sayang daripada ibu bapa dan penjaga. Namun yang lebih menyedihkan sekiranya miskin harta dan kasih sayang.


Keperluan anak-anak yang tidak seimbang seperti ini harus diambil peduli dan dibantu supaya tidak tercicir serba serbi dalam arus dunia yang semakin pantas dan mencengkam.

Intimnya kaitan rasa peduli dengan remaja bertujuan mendidik mereka bahawa hidup ini memerlukan orang lain dan keperluan untuk berhubung serta berinteraksi.

Sebahagian remaja kadang-kadang sudah terdidik dengan sifat bersendiri, tidak peduli orang lain, hilang hormat kepada ibu bapa dan orang tua, hilang adab kepada jiran dan orang lain.

Sikap sebegini tidak menyumbang ke arah pembinaan masyarakat. Bayangkan kalau di peringkat remaja lagi sudah ada sikap individualistik. Pasti akan terbawa-bawa hingga dewasa.

Rasa peduli mestilah dalam batas pengertian yang mendalam, keinsafan yang tinggi bahawa sebagai hamba Allah kita memerlukan bantuan, sumbangan dan derma dalam keadaan-keadaan tertentu.

Bayangkan sekiranya kita ditimpa bencana, kesusahan dan kepayahan hidup pasti kita memikirkan bantuan dan pertolongan orang lain. Sekiranya rasa peduli itu subur pada diri remaja ia menjadi asas membina sikap tidak sombong dan tidak angkuh dengan apa yang ada pada dirinya.

Sekiranya rasa peduli itu teguh pada remaja, apabila dewasa ilmu yang ada dapat digunakan untuk menyumbang terhadap orang lain. Kepakaran yang ada memudahkan pihak yang memerlukan, banyak membantu kerja-kerja sukarela. Amalan begini boleh memupuk rasa muhibbah dan kemanusiaan tinggi sesama manusia.

Ambil peduli, bukan 'menyibuk'

Malangnya apa yang terjadi dalam masyarakat hari ini adalah kita terlalu takut atau sememangnya tidak peduli akan masalah dan isu-isu yang berlaku di sekeliling kita.

Peristiwa penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi, jenayah, kes-kes dadah dan rogol yang menjadi-jadi sewajarnya membangkitkan perasaan peduli terhadap suasana sekeliling.

Frasa 'jangan menjaga tepi kain orang' tidak harus dianggap pengabaian terus terhadap hal-hal yang terjadi di luar lingkungan urusan kita.

Orang tua-tua dahulu mentafsir pepatah tersebut sebagai jangan 'menyibuk' hal orang lain atau masuk campur hal orang lain dengan tujuan tidak baik.

Ia bukanlah bermaksud untuk tidak ambil tahu langsung terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita, tetapi tidak masuk campur secara berlebih-lebih supaya tidak timbul perkara yang kurang menyenangkan kemudian hari.

Rasa peduli mestilah berasaskan sifat ikhlas dan tulus supaya sikap ambil tahu kita adalah pancaran suci jiwa untuk membantu dan menolong di mana yang perlu.

Di sini perlunya rasa peduli yang positif supaya kita terus maju dan membangun. Ada juga rasa peduli terhadap perbuatan buruk seseorang yang menyebabkan timbul umpatan, keji-mengeji dan dan fitnah memfitnah.

Memang benar apabila rasa peduli itu terbentuk secara negatif, ia melahirkan sikap negatif pula. Umpatan, kejian, dan fitnah memfitnah bukanlah cara yang diajar oleh Islam untuk memanjangkan rasa peduli terhadap orang lain. Islam melarang kita mengaibkan orang lain dan diumpamakan sebagai meratah daging saudara sendiri.

Apa yang terjadi baru-baru ini terhadap golongan kanak-kanak sememangnya amat kita kesali. Bukan sahaja perbuatan suspek dan sekutunya dibenci, malah sikap penduduk sekeliling yang tidak peka dan tidak prihatin amatlah dikesali.

Tentunya kita tidak dapat membayangkan keadaan masyarakat di masa akan datang sekiranya terus dengan sikap tidak peduli atau takut bertindak menentang kekejaman di hadapan mata.

Menolong orang yang dalam kesusahan adalah suatu yang digalakkan dalam Islam, apatah lagi sekiranya ia berlaku di hadapan mata sendiri.

Pernah penulis mendengar cerita seorang pengacara di televisyen tentang pengalamannya diketuk pintu dan diperiksa oleh pihak polis di luar negara pada tengah malam kerana hanya anaknya menangis kuat dan lama.

Setelah itu baru diketahui bahawa jiran-jiran sekeliling telah melaporkan kejadian itu kerana khuatir sesuatu yang buruk telah berlaku kepada anaknya itu kerana mendengar tangisan luar biasa anak pengacara tersebut di tengah-tengah malam.

Selepas diperiksa bahawa anak itu dalam keadaan baik, maka barulah pihak polis pulang dan jiran-jiran dapat tidur dengan lena tanpa memikirkan sesuatu yang buruk telah terjadi pada kanak-kanak itu.

Barangkali sesetengah orang akan membayangkan situasi tersebut sebagai sesuatu yang melampau dan terlebih-lebih. Tetapi ada baiknya kita mencontohi kisah dan sikap kepedulian jiran-jiran terhadap keadaan sekeliling kerana keprihatinan dan kepedulian terhadap sesuatu hal bukan sahaja mampu menyelamatkan keadaan, malah juga nyawa.

Justeru, remaja harus ingat bahawa umat Islam adalah bersaudara. Perumpamaan kasih sayang seorang mukmin umpama tubuh; jika salah satu anggota tubuh terasa sakit, maka tubuh yang lainnya turut berasa sakit. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Mengambil tahu dan mempunyai rasa peduli terhadap orang lain adalah sesuatu yang dituntut di dalam Islam.

Kesimpulan

Sikap peduli sangat penting untuk dipupuk dan diamalkan sedari kecil. Kanak-kanak diajar untuk menghormati orang lain, peka terhadap perasaan sendiri dan orang lain serta dididik dengan sikap menginsafi keadaan orang lain yang dalam kesusahan.

Zaman remaja pula diperkukuhkan dengan sikap suka menolong dan ringan tangan untuk membantu ibu bapa dan orang sekeliling yang memerlukan. Apabila didikan-didikan ini dibajai dengan baik, remaja akan menginsafi bahawa mereka akan tua suatu hari nanti dan memerlukan bantuan orang lain pula.

Sekiranya remaja sudah terbina dengan asas peduli yang baik, dengan sendirinya akan lahir masyarakat yang terbina dengan sifat kasih sayang dan tolong menolong ke arah kebajikan dan kebaikan bersama.

-AMAR M.N.M-

0 comments:

Catat Ulasan