Ads 468x60px

Rabu, 3 Mac 2010

PENDUDUK DI LUAR KEDIAMAN



Korban gempa Chile meningkat, cetus kebimbangan tsunami di Pasifik

CONCEPCION: Penduduk Chile tidur dalam khemah di luar rumah kerana takut gempa susulan berlaku ketika pihak berkuasa terus berusaha menilai kemusnahan terhadap sektor pengangkutan, tenaga dan infrastruktur.

Di bandar Concepcion, bandar yang menempatkan 670,000 penduduk, 115 kilometer di barat daya pusat gempa, beratus-ratus penduduk bermalam dalam khemah di luar rumah dan kediaman bergerak. Kereta remuk, tiang bekalan yang tumbang dan kaca berserakan memenuhi jalan.Selain itu, 100 orang dikhuatiri tertimbus di bawah bangunan pangsapuri selepas gempa itu. Anggota bomba menggunakan penyodok bagi mencari mangsa. Sekurang-kurangnya dua juta penduduk di Chile terjejas akibat gempa bumi, kata Presiden Michelle Bachelet. Gempa juga memberi cabaran pertama kepada jutawan, Sebastian Pinera yang dilantik sebagai Presiden Chile, Januari lalu.

Gempa bumi terkuat dalam abad ini melanda Chile awal kelmarin membunuh lebih 300 orang selain menumbangkan bangunan dan mencetuskan amaran tsunami di seluruh Pasifik. Ia juga memusnahkan sebahagian besar infrastruktur di negara pengeluar tembaga utama dunia dan satu daripada negara Amerika Latin yang paling stabil dalam ekonomi. Tsunami dilaporkan membunuh sekurang-kurangnya empat penduduk di pulau Juan Fernandez, Chile dan menyebabkan kemusnahan teruk sebahagian bandar pelabuhan Talcahuano.

Sementara itu di bahagian lain Pasifik, pantai utara Jepun turut dilaporkan mengalami tsunami setinggi 90 cm dan pihak berkuasa bimbang satu lagi ombak lebih besar akan melanda. Pihak berkuasa di timur jauh Russia, Semenanjung Kamchatka melaporkan gelombang setinggi 80 sentimeter tetapi tiada kerosakan dilaporkan dan amaran tsunami ditarik balik. Negara lain yang mengeluarkan amaran tsunami termasuk Jepun, Filipina, Australia, New Zealand, Fiji dan Samoa. Di Tokyo, ombak tsunami yang melanda tidak menyebabkan sebarang kemusnahan selepas membadai pulau Pasifik yang menjadi laluannya.


Agensi meteorologi Jepun berkata, gelombang besar tsunami awal itu berikutan gempa bumi berukuran 8.8 di Chile, dicatatkan di utara Jepun setinggi 90 sentimeter. Satu lagi dilaporkan mencapai ketinggian 30 sentimeter melanda Hokkaido, juga di utara. Tiada laporan mengenai kemusnahan.

Ketika melintasi Pasifik, ombak tsunami turut melalui kawasan dengan penduduk termasuk Hawaii, Amerika Syarikat. Pusat Amaran Tusnami Pasifik sudah menarik balik amaran di semua negara kecuali Russia dan Jepun manakala Filipina, Australia dan New Zealand terus memantau sebagai langkah berjaga-jaga. Gempa terbesar dalam sejarah berlaku di kawasan sama di Chile pada 22 Mei 1960 dengan kekuatan 9.5 skala Richter menyebabkan 1,655 orang maut dan dua juta kehilangan tempat tinggal. Gempa terbaru menyamai kekuatan gegaran yang melanda pantai Ecuador pada 1906 dan ke-7 paling kuat dalam sejarah. -Reuters

0 comments:

Catat Ulasan