Ads 468x60px

Jumaat, 1 Januari 2010

Misi Agenda Setempat : Kg. Baru, Batu Pahat



Pada hari Sabtu, 26 Disember 2009 yang lalu Skuad Prihatin Johor telah membuat bancian serta memberikan bantuan makanan berupa beras, biskut, minyak, serta hygine kit kepada 11 buah keluarga di Kampung Baru Sri Gading, Batu Pahat. Kami bertolak dari Mustika Embun pada jam 9.00 pagi dan singgah di Pejabat As-Sakinah yang terletak di Bandar Baru Uda untuk mengambil beberapa lagi kampit beras yang hendak dibawa ke Batu Pahat serta bersarapan pagi di sana. Pada jam 10.00 pagi kami bertolak ke Batu Pahat. Destinasi kami ialah Kampung Baru Sri Gading.

Setelah tiba di kampung tersebut, kami terus menuju ke rumah ketua kampung tersebut iaitu Encik Mohd. Noh. Kami memaklumkan kepada beliau tentang misi kami ke kampung tersebut dan beliau bersetuju untuk membantu kami dalam misi ini. Seramai 6 orang ahli skuad bersama beliau terus pergi ke rumah-rumah orang yang memerlukan bantuan yang rata-ratanya adalah ibu tunggal yang tidak bekerja dan mempunyai ramai anak yang masih belajar. Kami juga menziarahi serta memberikan bantuan kepada seorang wanita yang mempunyai masalah kurang akal yang ditinggalkan berseorangan dirumahnya ketika itu.

Selain itu, kami juga menziarahi seorang warga tua yang bernama Ismail, berumur dalam lingkungan 51 tahun yang tinggal berseorangan di rumah pusakanya yang sudah kelihatan uzur serta kurang sempurna. En. Ismail mempunyai masalah kesihatan iaitu sakit jantung. Beliau pernah berkahwin pada usia 18 tahun tetapi 10 tahun kemudian isterinya meninggal dunia dan mereka tidak mempunyai zuriat. Pada jam 1.30 petang kami kembali ke rumah En. Mohd. Noh dan meninggalkan baki beras dan barang-barang bantuan yang lain dirumahnya untuk diserahkan oleh beliau kepada penduduk-penduduk lain yang memerlukan. Selepas sesi bergambar, kami meminta diri kerana En. Mohd. Noh perlu menghadiri majlis kahwin di kampung tersebut. Kami menuju ke masjid yang berdekatan untuk menunaikan solat Zuhur, kemudian menuju ke Benteng, Batu Pahat untuk menikmati nasi beriani gam.

Selepas makan tengahari, destinasi kami yang seterusnya ialah ke Kampung Sungai Suloh, Batu Pahat untuk menghantar salah seorang ahli skuad pulang ke rumahnya. Selepas itu skuad menuju ke Kampung Sri Gading, Batu Pahat untuk singgah berehat sebentar di rumah Ketua Operasi, Sdr. Azamuddin. Selepas menikmati hidangan bubur asyura dan berehat, skuad menuju ke Air Hitam dan singgah disana sebentar untuk membeli sedikit ole-ole kemudian terus bertolak pulang ke Mustika Embun. Di dalam perjalanan, kami singgah sebentar di R & R untuk menunaikan solat maghrib dan isyak. Skuad tiba di Mustika Embun pada jam 9.30 malam. Ketua Operasi atau wakil skuad akan pergi ke kampung tersebut selepas ini untuk bancian susulan kerana ada beberapa kampit beras yang ditinggalkan di rumah Encik Mohd. Noh, Ketua Kampung Baru Sri Gading, Batu Pahat.

0 comments:

Catat Ulasan