Ads 468x60px

Selasa, 1 Disember 2009

Kami Terhina


Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Disebabkan kedaifan hidup, sepasang suami isteri mualaf yang mempunyai 12 anak terpaksa bergantung pada sumber air parit dicemari sisa baja dan bangkai untuk kegunaan seharian, termasuk membancuh susu bayi mereka yang baru berusia sebulan.

Akibatnya, 14 beranak itu kini digelar ‘keluarga jijik’ oleh segelintir penduduk di sekitar penempatan setinggan Kampung Sungai Plentong di sini, semata-mata kerana mereka sanggup menggunakan sumber air kotor untuk kegunaan harian sejak lebih 16 tahun lalu.

Ketua keluarga berkenaan, Mohamad Jeeva Abdullah, 43, berkata meskipun menyedari penggunaan air parit boleh memudaratkan kesihatan dirinya dan anak-anak, keluarganya tidak mempunyai pilihan kerana tidak berkemampuan mendapatkan bekalan air bersih dari luar.

Menurutnya, penduduk lain berkeupayaan mendapatkan air bersih bagi kegunaan seharian biarpun kampung berkenaan tidak disalurkan bekalan air bersih oleh pihak berkuasa, sedangkan keluarganya bergantung pada air parit berhampiran termasuk untuk mandi, mencuci pakaian, memasak serta minuman.

“Kami digelar keluarga jijik oleh penduduk kampung dengan alasan kami minum air kotor dan berbau busuk. Namun, bagi saya dan isteri, Salmah Abdullah, 40, serta anak-anak, kami lali dengan keadaan ini kerana hanya air parit dan air hujan saja boleh diperoleh secara percuma.

“Sebelum ini kami menggunakan air perigi, tetapi kini airnya berkeladak dan mengeluarkan bau busuk sehingga tidak boleh digunakan.

“Kebiasaannya kami akan memasak dulu air diambil dari parit kerana warnanya agak keruh dan kadangkala tercemar sehingga mengakibatkan anak-anak mudah mengalami alahan selain demam dan cirit-birit.

“Apa yang mengecewakan, biarpun rata-rata penduduk di perkampungan setinggan ini menyedari keluarga saya bergantung pada bekalan air berkenaan, mereka sanggup membuang sisa baja mahupun bangkai haiwan ke dalam parit,” katanya.

Mohamad Jeeva memeluk Islam sembilan tahun lalu manakala hati Salmah terbuka untuk menerima agama Islam pada Oktober lalu.

Menyingkap sejarah hidupnya memeluk Islam, Jeeva berkata, dia ingin mencari kebenaran dan petunjuk dalam hidupnya.

Menurutnya, dia dan isterinya tabah menghadapi pelbagai dugaan termasuk bagi menyara kehidupan 12 cahaya mata termasuk anak ketiga mengalami masalah lembam.

“Isteri saya juga terpaksa membanting tulang bagi menambah pendapatan keluarga dengan menjadi buruh kontrak mengecat bangunan biarpun dia masih dalam pantang kerana pendapatan bersih saya RM200 yang diperoleh hasil bekerja sebagai buruh ladang tidak mencukupi.

“Manakala bantuan sara hidup daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM400 sebulan hanya mampu menampung perbelanjaan dapur selain persekolahan anak,” katanya ketika menerima kunjungan Pergerakan Pemuda Umno bahagian Pasir Gudang, kelmarin.

Hadir menghulurkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada keluarga itu, Bendahari Umno bahagian Pasir Gudang, Rosli Mohamad dan Pengerusi Biro Kebajikan Pemuda bahagian itu, Mohd Khalimi Mohd Lia Khad Ali.

Pasangan berkenaan dikurniakan tujuh anak perempuan dan lima lelaki termasuk Raju, 16, Shalini, 11, Sarla, 11, Sakti, 9, Visali, 9, Tavita, 8, Roja, 7, Deevankumar, 6, Uganindran, 4, Priya, 2, Selvakumar, berusia setahun dan Arvind, bayi berusia sebulan.

Akibat kesempitan hidup, Jeeva berkata, dua daripada cahaya matanya terpaksa menumpang di kediaman saudara-mara bagi memudahkan mereka ke sekolah memandangkan dia tidak dapat menghantar mereka kerana tidak berkemampuan memperbaharui cukai jalan dan insurans motosikalnya.

“Sudah lebih empat tahun saya dan isteri tidak membelikan baju baru pada anak dan mereka masih memakai baju terpakai yang disumbangkan kenalan mahupun baju kakak dan abang mereka,” katanya.

Sementara itu, Salmah berkata, dia yang memeluk Islam sehari sebelum melahirkan anak bongsunya juga berhajat mengislamkan semua anaknya dengan secepat mungkin.

Bagaimanapun, katanya dia sekeluarga menghadapi kesulitan hendak ke pejabat agama di pusat bandar raya bagi menyelesaikan urusan kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk tambang pengangkutan awam ke sana.

“Saya boleh mengucap kalimah syahadah dan begitu juga dengan anak-anak yang tidak sabar menjalani kehidupan sebagai umat Islam.

“Kami berharap pihak berkuasa menyediakan bimbingan dan panduan agama selain sayangi kami sebagai saudara Islam.

“Kami berharap mampu menjalani kehidupan yang lebih bermakna pada tahun depan di mana anak-anak turut menunjukkan minat bagi mengikuti kelas Fardu Ain secepat mungkin,” katanya sambil menunjukkan sijil perakuan Islamnya yang dikeluarkan pihak berkuasa agama Islam negeri.


2 comments:

Wan Muhammad berkata...

Salam,sayunya hati membaca kisah ini. Semoga bantuan daripada pihak-pihak yang berkenaan cepat sampai.
Salam ukhuwah fillah

Tanpa Nama berkata...

Salam,erm tanpa kita sedari masih ramai yg menderita kemiskinan namun kita msih bersenang-lenang tanpa lahir sedikit pun kesyukuran trhadap nikmatnya...sama2 kita muhasabah

Catat Ulasan