Ads 468x60px

Jumaat, 25 September 2009

Kembara Ramadhan 1430H di Kota Tinggi

Salam Perpaduan...

Pada 12 hingga 13 September 2009 yang lalu, Skuad Prihatin dengan kerjasama ABIM Johor dan ABIM Kota Tinggi telah mengadakan Kembara Ramadhan 1430H bertemat di Kg. Panchor dan Perkampungan Orang Asli Pasir Salam, Kota Tinggi, Johor.Alhamdulillah, seramai 30 orang telah terlibat sama di dalam kembara ini. 15 orang krew Skuad Prihatin telah turut serta dalam misi kembara ini dengan selebihnya ialah penglibatan aktif daripada pihak ABIM Johor yang menghantar wakil dari beberapa daerah serta dari Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ). Malah, turut serta dalam kembara ini ialah Sdr. Presiden ABIM beserta 3 orang Exco ABIM Negeri Johor.

12 September 2009

8.00 pg: Skuad Prihatin (SP) berkumpul di Kompleks Mustika Embun, Jalan Abdul Rahman Andak, Johor Bahru sebagai check point pertama. Persiapan awal melibatkan peralatan dan kenderaan serta taklimat awal.

9.00 pg: Sdr. Muhammad Razak Idris, Presiden ABIM selamat tiba di Lapangan Terbang Senai, Johor untuk turut sama dalam kembara ini. Ketibaan beliau telah disambut oleh Sdr. Zoolhilmi Ahmad, Exco ABIM Negeri Johor. Kedua-duanya terus bergerak ke Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi (check point kedua). Di situ, pihak ABIM Kota Tinggi telah menanti untuk mengetuai perjalanan kembara seterusnya. Pada masa yang sama rombongan kembara dari Johor Bahru juga bergerak ke Kota Tinggi.

11.30 pg: Kesemua peserta kembara telah selamat tiba di Felda Air Tawar 2 dan bermula dari sini pihak ABIM Kota Tinggi akan mengetuai perjalanan kembara ini memandangkan mereka merupakan warga tempatan dan juga pihak yang membantu dari sudut lokasi dan logistik. Sebelum bergerak ke destinasi seterusnya, taklimat ringkas telah diberikan berkenaan perjalanan yang seterusnya.


12.00 tgh: Seterusnya Skuad Prihatin bergerak ke Kg. Panchor secara konvoi yang mengambil masa lebih dari setengah jam untuk tiba di sana. Alhamdulillah, perjalanan berjalan lancar walaupun keadaan permukaan jalan yang tidak begitu baik. Namun sesuatu yang membuatkan kami agak kagum ialah keadaan jalan yang baik dan baru sebaik tiba di Kg. Panchor. Pada kesempatan ini juga kami telah di bawa menziarahi tapak-tapak tinggalan sejarah lama Johor iaitu dua lokasi Makam Di Raja kerajaan Johor Lama.

1.00 ptg: Setelah tiba di jeti Kg. Panchor (check point ketiga) kami berehat sambil beramah mesra dengan penduduk tempatan yang ada di sekitar sebelum bertolak ke Kg. Pasir Salam dengan menaiki bot. Sesi taklimat penuh juga diadakan di Masjid Kg. Panchor yang terletak berhampiran setelah usai solat Zuhur berjemaah.

2.30 ptg: Pergerakan berikutnya ialah ke Perkampungan Orang Asli Pasir Salam dengan menaiki bot yang mengambil masa lebih kurang 5 ke 8 minit untuk setiap trip. Ia memerlukan 3 kali trip untuk membawa kami dan barang-barang bantuan. Kali ini perjalanan bot ini telah turut disertai oleh 3 orang wakil dari Pejabat Pelajaran Daerah Kota Tinggi yang turut sama prihatin bagi sama-sama menyampaikan sumbangan.



3.15 ptg: Setelah kesemuanya selamat tiba di Kg. Pasir Salam, kami bergerak ke Surau Pasir Salam di mana ia akan menjadi pusat aktiviti utama bagi kembara ini. Bagaimana pun bergerak pada waktu tengahari yang panas terik di bulan puasa agak meletihkan dan memerlukan kami tempoh rehat sementara sebelum ke perancangan yang seterusnya. Namun, semangat nabi dan para sahabat yang kerap berjuang berperang di medan jihad demi menegakkan Islam terus tersemat dalam diri masing-masing yang hanya hanya melihat perjalanan kembara ini sebagai halangan kecil.

4.30 ptg: Seusai solat Asar, sesi sidang bulat bersama wakil masyarakat orang Asli Kg. Pasir Salam iaitu En. Abu Bakar dilangsungkan sebagai sesi perkenalan dan diskusi sihat yang melibatkan budaya, sosial, agama, dan sebagainya sebelum aktiviti-aktiviti yang lain dijalankan agar keharmonian penduduk setempat tidak terganggu memandangkan lebih dari 75 peratus daripada mereka bukan beragama Islam. Namun, kami melihat ia sebagai peluang untuk menunjukkan keindahan Islam kepada mereka.

5.00 ptg: Aktiviti pertama kami di sini ialah gotong-royong membersihkan kawasan utama kampung di sekitar surau, balai raya dan kawasan yang berhampiran. Menariknya ialah terdapat beberapa kanak-kanak tempatan yang turut sama membantu kami melakukannya.

6.00 ptg: Setelah itu, kami mula bergerak membuat lawatan ke rumah-rumah dan memberikan sumbangan sekampit beras kepada penduduk mengikut jumlah keluarga yang dikhabarkan sebanyak 30 buah rumah. Bagaimanapun tujuan utama kami ialah untuk membina hubungan silaturrahim dan persahabatan dengan para penduduk yang kebanyakannya bukan beragama Islam, dan sumbangan tersebut merupakan simbol keprihatinan kami yang tidak memandang agama sebagai suatu halangan untuk bertolak-ansur dan saling hormat-menghormati serta bantu-membantu juga memandangkan kita hidup dalam masyarakat majmuk.

7.00 mlm: Akhirnya saat yang dinanti-nantikan bagi setiap orang yang berpuasa tiba, iaitu waktu berbuka puasa. Kami telah berbuka puasa di surau dan turut disertai beberapa orang penduduk yang beragama Islam dan kanak-kanak. Walaupun makanan yang dikongsi bersama dalam dulang tidaklah banyak dan mewah, tetapi ia cukup mengenyangkan dan dinikmati bersama dengan rasa syukur. Malahan keletihan yang dirasai sepanjang hari di bawah suhu yang berbahang seperti hilang.

Selesai solat maghrib, kami dan penduduk kampung beragama Islam telah sama-sama membaca zikir al-ma’thurat dan kemudiannya mengikuti tazkirah yang disampaikan oleh Ust. Ab. Razak Aripin, Timbalan Yang Di-Pertua ABIM Johor. Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengadakan sesi taaruf dan perkenalan dengan semua yang hadir. Setelah itu kami solat Isya’ berjemaah diikuti dengan solat tarawikh 8 rakaat.



9.30 mlm: Sesi Pengenalan ABIM dan Amanat daripada Presiden ABIM, Muhammad Razak Idris. Melalui sesi ini, saudara Presiden telah berkongsi sejarah dan matlamat ABIM dan kemunasabahan program sebegini dianjurkan dengan penglibatan daripada entiti-entiti seperti Skuad Prihatin. Beliau turut menyentuh kepentingan penglibatan konsisten generasi muda belia kepada pembangunan, kemajuan dan konsistensi sesebuah masyarakat, negara dan tamadun.

10.30 mlm: Berikut ialah masa untuk Moreh. Ringkas, namun begitu menyegarkan dan cukup sekadar yang diperlukan sambil mengeratkan silaturrahim di kalangan peserta kembara itu sendiri.

11.00 mlm: Memandangkan bekalan elektrik kami di sini bergantung kepada generator, kami harus berjimat menggunakannya terutamanya bekalan petrol yang dibawa. Juga kami perlu bangun di awal pagi dengan harapan agar bertemu dengan malam lailatul qadar, insyaAllah. Justeru, kembara singkat kami berakhir di sini untuk hari pertama ini.

13 September 2009

3.30 pg: Kebanyakan daripada kami telah bangun pada waktu ini, masing-masing dengan ’urusan’ sendiri. Sebahagian pula, setelah melakukan solat-solat sunat bergegas untuk menyediakan juadah bersahur untuk kami.

5.30 pg: Seusai bersahur dan solat Subuh berjemaah, Sdr. Salehuddin, Setiausaha ABIM Negeri Johor dan Ust. Ab. Razak bergerak balik ke Johor Bahru mengiringi saudara Presiden ABIM memandangkan beliau perlu terbang balik ke Kuala Lumpur pada jam 9.30 pagi. Sementara itu, kami mengambil peluang ini untuk berkemas, berehat dan melakukan aktiviti dan ibadat tambahan yang perlu di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini sebelum jadual aktiviti kami bermula kembali pada jam 8 pagi.



8.00 pg: Setelah bersiap mengemas barang-barang dan peralatan yang dibawa serta surau tempat kami berteduh, kami bergerak menuju jeti Kg. Pasir Salam untuk kembali ke Kg. Panchor pula bagi memenuhi aktiviti seterusnya di sana.

9.30 pg: Kembali semula ke Kg. Panchor dan kami berkumpul di Sek. Keb. Panchor untuk mengemas beberapa barang sumbangan dan sesi taklimat kembara untuk hari kedua. Ketibaan kami turut dialu-alukan oleh Guru Besar Sek. Keb. Panchor, Cikgu Zawawi yang banyak membantu dalam menjayakan program ini pada peringkat awal perancangannya. Beliau turut berkongsi kisah berkenaan Kg. Panchor dan sejarahnya. Ianya sungguh informatif buat kami.

10.00 pg: Matlamat kami seterusnya ialah bergotong-royong membersihkan Masjid Kg. Panchor dan kawasan sekitarnya. Setelah selesai, kami bergerak untuk melakukan ziarah dan sekaligus menyampaikan sumbangan kepada penduduk-penduduk kampung yang terpilih yang telah dikenalpasti sebelumnya. Kami bergerak dalam 3 kumpulan, dengan 1 kumpulan bergerak dengan kenderaan pacuan empat roda manakala 2 kumpulan lagi dengan berjalan kaki. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dengan bantuan penduduk tempatan tentunya.

12.00 tgh: Setelah berehat seketika bagi menghilangkan letih, kami telah berkesempatan melawat atau lebih tepat dibawa meneroka laluan tracking di hutan Panchor. Terima kasih kepada Pak Hamid yang sudi membimbing kami dan berkongsi banyak pengalaman dan sejarah tempatan sebelum, semasa dan selepas perjalanan di hutan tersebut.

1.30 ptg: Selesai membersihkan diri, berkemas-kemas dan solat Zuhur berjemaah, pihak ABIM Kota Tinggi mengadakan majlis penutup di Masjid Kg. Panchor sebagai tanda penghargaan kepada para sukarelawan yang menyertai Skuad Prihatin bagi turut serta dalam kembara ini. Walaupun ianya suatu perjalanan yang agak singkat, namun ia tetap merupakan pengalaman yang begitu bermakna sekali buat semua peserta kembara kerana begitu banyak yang diperolehi daripada kembara ini yang tidak dapat dikongsikan bersama di sini.

2.15 ptg: Semuanya bersurai pulang dan sebahagian kumpulan masih sempat singgah menyampaikan sumbangan kepada kampung berhampiran di dalam perjalanan pulang sebelum keluar dari kawasan pedalaman Panchor. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi semuanya berjalan dengan baik. Moga tradisi kembara ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan kerjasama dan penglibatan pihak-pihak lain pula, insyaAllah.

Setinggi ucapan penghargaan yang tidak terhingga Skuad Prihatin ucapkan kepada pihak ABIM Johor terutamanya ABIM Kota Tinggi yang banyak membantu merealisasikan program ini, penduduk kampung Panchor dan Pasir Salam, Pejabat Pelajaran Daerah Kota Tinggi, Pejabat Agama Daerah Kota Tinggi, KPIJ, dan semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam menjayakan program yang begitu bermakna ini. Wassalam, sekian sahaja catatan kembara untuk edisi ini. Moga usaha yang sedikit ini dapat memberi manfaat.

Ibnu Ahmad Al-Funtiani

0 comments:

Catat Ulasan