Ads 468x60px

Sabtu, 27 Februari 2010

Misi Agenda Setempat (MAS)

GOTONG ROYONG DI KEDIAMAN PN. BADARIAH BINTI HANAFI

Pada 20 Februari 2010, Biro Prihatin ABIM Batu Pahat dengan kerjasama Skuad Prihatin ABIM Johor telah melaksanakan misi gotong royong di kediaman Pn. Badariah Binti Hanafi yang beralamat di No 28, Parit Simpang Sikun, Mukim 8, 86400 Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Misi yang diketuai oleh Sdr. Mohd Azlan Bin Mohd Syarif ini berjaya menarik seramai 21 orang sukarelawan remaja seluruh Batu Pahat untuk turun padang melihat sendiri kesusahan dan kedaifan yang ditanggung oleh Pn. Badariah Binti Hanafi sekeluarga. Lebih menyayat hati apabila ketua keluarga ini terlibat dengan najis dadah dan mengakibatkan keluarga ini ditinggalkan hampir sembilah tahun oleh suaminya tanpa sebarang sumber pendapatan. Keluaraga ini hanya menerima Bantuan Kanak-Kanak (BKK) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM 200 bermula sepuluh bulan yang lalu.

Misi ziarah dan gotong-royong ini merangkumi aktiviti khidmat masyarakat yang mana melibatkan sukarelawan bekerjasama bergotong- royong membersihkan sekitar kawasan rumah reponden yang kelihatan usang dan tidak terurus. Di samping itu, pihak penganjur juga menghulurkan sedikit sumbangan ikhlas berbentuk barangan keperluan dapur seperti beras, telur, tepung, minyak masak, gula, kicap dan biskut yang berjumlah RM 110.00 kesemuanya.Sumbangan disampaikan oleh Cik Siti Khadijah Binti Tamam selaku Ketua HELWA ABIM Batu Pahat serta mewakili pihak Skuad Prihatin ABIM Johor .Antara lain, pihak penganjur juga akan berusaha menyelesaikan masalah yang di hadapi responden dengan mengajukan masalah terbabit kepada pihak yang berwajib.

Alhamdulillah, misi ziarah ini berjaya mengadunkan empat aktiviti sekaligus iaitu ziarah bancian penduduk bagi mengetahui berita semasa, pembersihan kawasan yang menimbulkan kesedaran dan keprihatinan dalam kalangan belia setempat, jamuan mengeratkan ukhuwah silaturahim dalam kalangan Biro Prihatin,solat Asar berjemaah serta tazkirah keprihatinan melibatkan kedua-dua belah pihak yang disampaikan oleh Sdr.Fared , Pengerusi Majlis Belia Batu Pahat. Keluarga Pn. Badariah juga turut dipilih menjadi keluarga angkat Skuad Prihatin ABIM Johor dan insya-Allah turut akan dibantu melalui Kempen Sumbangan Seorang Sekampit Beras yang dilaksanakan oleh Skuad Prihatin ABIM Johor saban tahun. Dengan melaksanakan program sebegini masalah yang dihadapi oleh komuniti Melayu-Muslim mampu dicungkil secara mikro.



Sdr. Azlan dan rakan-rakan juga telah berjaya bertemu dengan ADUN kawasan tersebut untuk mengenengahkan isu berkaitan keluarga ini dan pihak JKM juga telah dipanjangkan berkaitan bentuk bantuan yang sewajarnya keluarga tersebut perolehi.

Tahniah kepada semua jawatankuasa penggerak. Salam perjuangan ukhwah fillah.

read more

Khamis, 18 Februari 2010

Sumbangan oleh Skuad Prihatin ABIM Johor


Alhamdulillah pada 17 Februari 2010 bersamaan 3 Rabiul Awal 1431 H ABIM Johor melalui skuad prihatin telah memberikan sedikit bantuan kepada sdr. Azmi b. Ali di Taman Teratai, Skudai. Beliau yang tidak mempunyai pendapatan yang tetap, tinggal bersama-sama anak-anaknya yang ramai di rumah teres setingkat yang sempit. Oleh itu, beliau memang sangat memerlukan keprihatinan masyarakat setempat bagi membantu beliau dalam menyara kehidupan beliau dan keluarganya. Bantuan yang telah diberikan oleh skuad prihatin adalah dalam bentuk makanan asas seperti beras, minyak, telur dan lain-lain yang berjumlah lebih kurang RM 90.00. Sumbangan telah disampaikan oleh Sdr. Dr. Shahrum Shah b. Abdullah selaku YDP ABIM Johor.
read more

Selasa, 2 Februari 2010

Usrah Online : Kepimpinan

Usrah Cyber Skuad Prihatin buat julung kalinya yang telah diadakan pada 28 Januari 2010 melalui aplikasi Yahoo Messanger. Tepat jam 9.00 malam, semua ahli usrah seramai 6 orang berada dalam talian. Ketua Operasi Skuad Prihatin, Saudara Azamuddin sebagai naqib.

Intipati usrah pada malam itu adalah Surah Al-An’am, ayat 165 yang bermaksud:

"Dan Dialah yang menjadikan kamu sebagai khalifah di bumi. Meninggikan sesetengah daripada kamu diatas setengah yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan kepada kamu"

Dari ayat tersebut ketahuilah kita bahawa Allah s.w.t telah melantik kita iaitu manusia sebagai khalifah yang membawa erti sebagai pemimpin, mengangkat darjat manusia lebih beberapa darjat daripada yang lain. Dan ada juga diantara khalifah yang telah Allah lantik ini dilantik menjadi pemimpin dalam sesebuah organisasi, untuk memimpin manusia yang lain.

Seperti yang kita ketahui, salah satu ciri yang perlu ada dalam diri seseorang pemimpin adalah ciri kepimpinan. Secara umumnya kepimpinan bererti penzahiran hubungan perilaku manusia, pengaruh dan daya tindakan oleh satu kelompok ke arah mencapai matlamat tertentu dengan keyakinan dan kepatuhan. Manakala konsep kepimpinan yang wujud dalam Islam adalah bersifat bersepadu iaitu menekankan kesimbangan antara kepentingan roh dan jasad yang membawa maksud perkembangan spritual dan pembangunan material adalah seiring.

Saidina Umar Al-Khattab r.a pernah berkata: "Jika mahu dilihat masa depan negara, lihatlah generasi mudanya hari ini". Dari kata-kata ini jelaslah menunjukkan bahawa peranan generasi muda sangat penting bagi sesebuah negara serta agama. Merekalah yang bakal memimpin agama dan negara. Keadaan generasi muda kini sangat membimbangkan. Mereka mengamalkan 'budaya segera', dimana segala yang dilakukan hanya mahu mudah. Pudar pegangan agama,rendah pemahaman,leka dan lalai kerana sudah terlalu senang. Bagaimana pula keadaan generasi akan datang bilamana golongan muda ini menjadi pemimpin kelak? Dimana keseiringan perkembangan spiritual dan pembangunan material sebagai seorang yang bakal menjadi pemimpin.

Inilah antara cabaran-cabaran yang perlu dihadapi oleh pemimpin dimana mereka perlu memimpin dan membentuk generasi muda mengikut acuan yang secukup rasa iaitu tahu dan faham akan tanggungjawab mereka terhadap organisasi yang dipimpin,agama dan negara. Seorang pemimpin juga harus sedar bahawa tanggungjawab yang diberikan kepadanya juga merupakan satu ujian buat dirinya dan sudah pasti hati yang dekat dengan Allah s.w.t itulah yang akan diangkat darjatnya disisi Allah. Orang yang digelar pemimpin harus mempunyai ilmu yang banyak di dada kerana ilmu yang akan memimpinnya untuk memimpin anak-anak buahnya. Seorang pemimpin yang tidak berilmu samalah seperti seseorang yang celik matanya memimpin si buta untuk melintas jalan tetapi dia sendiri tidak tahu pada ketika bila yang sesuai untuk melintas jalan.

Setiap orang mempunyai ciri kepimpinan tetapi kepimpinan bukanlah satu material, ia adalah satu kemampuan bagi mengetuai, memimpin dan memandu. Ia bukanlah sekadar untuk memimpin sesebuah organisasi, tetapi diri sendiri juga. Hati seorang pemimpin tidak boleh mudah goyah dan rapuh, pokoknya perlu ada cinta pada perubahan yang dilakukan.
read more